Alias Abd Rani


Muar: Bekas Perdana Menteri membidas ketiadaan menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakibatkan beberapa isu seperti kenaikan harga barang dan bekalan beras tidak dapat ditangani.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketiadaan 'menteri sepenuh masa' rakyat terus dihimpit dengan kenaikan harga barang selain tiada bekalan di pasaran.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh mahu Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyegerakan perlantikan menteri KPDN agar setiap permasalahan berlaku membabitkan kementerian berkenaan dapat diberi tumpuan sepenuhnya.

"Sekarang ini saya tidak dengar lagi sesiapa dilantik untuk menguruskan jawatan berkenaan, sama ada Mohamad Sabu (Datuk Seri) melaksanakan tugas berkenaan atau sebaliknya.

"Saya sebenarnya tak mahu campur urusan Perdana Menteri, tetapi sekarang ini ada krisis makanan dan jawatan berkenaan tidak diisi lagi," katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh 2023, di Felda Batu 27 Lenga, hari ini.

Katanya, sekiranya ada menteri menguruskannya seperti mana Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, mungkin ia akan mempunyai panduan dan hala tuju yang lebih baik.

Katanya, jika ada menterinya sudah pasti masalah berkaitan bekalan makanan ini bermula daripada penanaman padi sehingga pengedarannya, tentu mempunyai sistem tersendiri dan bukannya diurus oleh kementerian lain.

"Saya katakan ini kerana keadaan telah mendesak... cepat-cepatlah lantik dan diisi segera," katanya.

Minggu lalu, Anwar menyatakan jawatan berkenaan akan diisi calon sesuai melalui satu rombakan kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 8:37 PM