Mohamed Farid Noh


Pagoh: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Sebaliknya kata beliau, Bersatu akan membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri berkenaan pada 18 Disember nanti.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan ketika perbincangan bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang juga Presiden GPS.

"Kita sudah ada perbincangan dengan Abang Johari beberapa hari sebelum pengumuman PRN Sarawak dibuat.

"Kita bincang di peringkat parti yang kita tidak akan bertanding di PRN Sarawak. Kita dah buat keputusan. Yang penting kita nak tentukan parti di Sarawak menang dengan cemerlang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Serbaguna Lenga, di sini, hari ini.

GPS semalam mengumumkan akan bertanding di semua 82 kawasan DUN Sarawak pada PRN itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, langkah Bersatu tidak bertanding di PRN Sarawak itu juga berikutan menghormati pandangan dan permintaan GPS supaya parti itu diberi laluan pada pilihan raya berkenaan.

MUHYIDDIN (empat dari kiri), Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tiga dari kiri), Setiausaha Bahagian Bersatu Pagoh, Atiman Kadar (tiga dari kanan) dan Ketua Srikandi Bahagian Pagoh, Janariah Abu Nawan (dua dari kanan) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Bersatu Bahagian Pagoh, Dewan Serbaguna Lenga. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHYIDDIN (empat dari kiri), Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tiga dari kiri), Setiausaha Bahagian Bersatu Pagoh, Atiman Kadar (tiga dari kanan) dan Ketua Srikandi Bahagian Pagoh, Janariah Abu Nawan (dua dari kanan) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Bersatu Bahagian Pagoh, Dewan Serbaguna Lenga. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Kita hormati pandangan GPS. Apa yang pasti, kita yakin GPS ada kekuatan.

"Atas dasar itu, ahli kita di sana akan membantu supaya GPS capai kemenangan lebih besar pada PRN Sarawak," katanya

Dalam pada itu, Muhyiddin memberi gambaran parti itu mungkin akan bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

"Cuma pada PRN-15 nanti, GPS ada menyatakan mungkin ada pertimbangan lain.

"Bermakna parti yang lain akan bersama-sama GPS ketika PRU-15 nanti termasuk PN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 12:02 PM