ISKANDAR Dzulkarnain, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
ISKANDAR Dzulkarnain, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Alias Abd Rani


Muar: Nasib Ahli Parlimen Kuala Kangsar daripada Bersatu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan akan ditentukan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkenaan pada Khamis ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat itu akan membincangkan tindakan disiplin terhadap Iskandar Dzulkarnain susulan kenyataan itu melanggar peraturan dan disiplin parti.

Beliau berkata, ketika ini partinya sibuk mengadakan pemilihan namun sudah mengarahkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menetapkan mesyuarat terbabit.

"Tapi ini ada kaitan dengan soal disiplin parti dan kalau begitu, kita akan minta lembaga disiplin mengambil tindakan mengikut peraturan.

"Dia (lembaga disiplin) kena hantar surat tunjuk sebab, kita akan bincang...kalau dia hantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen itu, minta dia jelaskan kenapakah tindakan tidak boleh diambil terhadapnya.

"Lembaga disiplin kena jawablah...kemudian akan teliti dan selepas itu, MPT akan buat keputusan," katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Felda Batu 27 Lenga, hari ini.

Minggu lalu, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengesahkan sudah memanggil 30 daripada keseluruhan 31 Ahli Parlimen parti itu susulan kenyataan wakil rakyat Kuala Kangsar yang menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, dalam pertemuan itu semua 30 Ahli Parlimen kecuali Kuala Kangsar menyatakan ikrar untuk kekal istiqamah bersama dan juga menyokong Perikatan Nasional (PN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 7:12 PM