BANTUAN peralatan berjumlah RM367,000 diberikan kepada peserta menerusi Program Bantuan Pembangunan Usahawan Alumni Kolej KEDA. FOTO Noorazura Abdul Rahman
BANTUAN peralatan berjumlah RM367,000 diberikan kepada peserta menerusi Program Bantuan Pembangunan Usahawan Alumni Kolej KEDA. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerusi Kolej KEDA mengagihkan bantuan peralatan berjumlah lebih RM367,000 kepada 38 peserta menerusi Program Bantuan Pembangunan Usahawan Alumni Kolej KEDA tahun ini.

Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib berkata, program berkenaan adalah bantuan ekonomi alumni yang pertama kali dilaksanakan kepada pelajar lepasan kolej berkenaan.

Katanya, Kolej KEDA mengambil inisiatif membantu usahawan alumninya yang berpotensi tinggi dengan memberi bantuan bahan atau peralatan yang diperlukan berdasarkan penilaian dan siasatan terhadap potensi usahawan terbabit.

"Kita berikan bantuan ini dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan mereka selain mereka akan lebih bersemangat untuk memasarkan produk yang dihasilkan dengan lebih kreatif, efektif dan inovatif.

"Dalam masa yang sama, kita yakin bantuan ini dapat meningkatkan kuantiti pengeluaran produk usahawan alumni Kolej KEDA serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Pembangunan Usahawan Alumni Kolej KEDA 2021 di Purest Hotel di sini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, program itu salah satu program diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang dinamakan Program Pembangunan Kemahiran Untuk Komuniti B40 Bagi Wilayah KEDA di Kolej KEDA.

Katanya, peserta yang menerima bantuan terdiri dari usahawan perniagaan di sekitar negeri ini dan mengikut kategori alumni yang dibahagikan kepada kluster teknologi masakan, teknologi kimpalan, teknologi elektrik, teknologi fabrik dan teknologi motosikal.

"Peserta turut diberi kursus bimbingan penyediaan profil syarikat, pengurusan kewangan dan teknik pemasaran. Mereka juga akan dipantau dalam tempoh dua tahun bagi memastikan mereka berjaya meningkatkan pendapatan hasil daripada bantuan yang diberikan.

"Sekiranya didapati mereka tidak menggunakan peralatan yang kita berikan, pihak saya tidak teragak-agak mengambil kembali peralatan berkenaan dan diserahkan kepada usahawan lain yang layak," katanya.

KAMARUDIN (kanan) ketika melakukan simbolik penyerahan bantuan peralatan kepada alumni Kolej KEDA. FOTO Noorazura Abdul Rahman
KAMARUDIN (kanan) ketika melakukan simbolik penyerahan bantuan peralatan kepada alumni Kolej KEDA. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Penerima bersemangat lebar perniagaan

"Saya yakin dengan bantuan peralatan mesin jahit ini saya akan dapat menerima lebih banyak tempahan baju daripada pelanggan selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu," kata Muhammad Husaini Arifin, 28.

Bekas pelajar Kolej KEDA itu berkata, dia teruja dipilih menerima bantuan mesin jahit bernilai RM10,000 daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), sekali gus meningkatkan semangatnya untuk terus berjaya.

Katanya, dia sebelum ini terpaksa menolak banyak tempahan pelanggan berikutan kekurangan mesin jahit selain tenaga kerja.

"Saya boleh menjahit pelbagai jenis pakaian lelaki mahupun perempuan, tapi disebabkan kekurangan mesin dan tenaga kerja, saya tidak boleh menerima semua tempahan pelanggan bagi menjaga kualiti baju yang saya jahit.

"Alhamdulillah, selepas menerima bantuan peralatan ini saya merancang membuka butik pengantin dengan rekaan saya sendiri, kedai yang sedia ada di Guar Chempedak saya akan kekalkan untuk menjahit pakaian lelaki dan wanita," katanya yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Jahitan Tahap Dua dari Kolej KEDA.

Berkongsi kegembiraan sama ialah Noor A'qilah Abu Samat, 33, yang mengeluarkan rekaan baju Kedah Opah.

Katanya, dia seperti tidak percaya akan menerima bantuan mesin jahit bernilai RM10,000 daripada agensi yang menjadi tempatnya menimba ilmu sebelum ini.

"Setiap bulan saya mampu keluarkan kira-kira 200 helai baju Kedah Opah yang dijual secara dalam talian kepada pelanggan di seluruh negara termasuk Singapura.

"Mesin jahit baharu ini nanti pasti saya akan gunakan sebaik mungkin untuk tingkatkan pengeluaran pakaian jenama saya sendiri," kata ibu kepada tiga orang anak ini.

Bagi Zuraimi Rahmat, 28, dia bangga menjadi lepasan Kolej KEDA kerana mendidiknya sehingga berjaya membuka bengkel motosikal sendiri.

"Apabila dipilih menerima bantuan peralatan ini, saya terus rasa bersemangat untuk melebarkan perniagaan saya, saya akan buka cawangan di Kuala Lumpur selepas ini dan menggunakan peralatan diberikan KEDA sebaik mungkin," katanya yang tinggal di Sungai Pasir di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 1:20 PM