KEDA organisasi amat penting di Kedah dan perlu kekal menjalankan fungsinya dengan baik.
KEDA organisasi amat penting di Kedah dan perlu kekal menjalankan fungsinya dengan baik.

LEMBAGA Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) ditubuhkan pada 28 Mei 1981 dan penubuhannya dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

KEDA ditubuhkan di bawah Akta 249 dengan tujuan membantu mempercepatkan pembangunan sosio ekonomi dan infrastruktur dalam kawasan operasinya.

Antara objektif KEDA ialah memajukan masyarakat luar bandar khususnya golongan sasar dalam semua bidang sosio ekonomi melalui usaha pembangunan modal insan, latihan kemahiran, ekonomi dan fizikal dengan tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup. Sejak penubuhannya, KEDA membangunkan penempatan untuk rakyat termiskin, memberi bantuan ekonomi dalam aspek perniagaan kecil, pertanian dan penternakan, mewujudkan lebih ramai usahawan serta memberi pendidikan kemahiran kepada penduduk luar bandar.

Menjangkau usia penubuhan yang sudah mencecah 40 tahun pada 28 Mei 2021 lalu, pelbagai cabaran ditempuhi untuk sampai ke tahap sekarang ini. Kini, agensi kemajuan wilayah ini dipimpin oleh pemimpin tempatan yang tersohor dan berpengalaman luas di Kedah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail merangkap Ahli Kanan Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kedah Darul Aman serta Pengerusi KEDA sejak tahun 2020. 1 Jun 2021 baru-baru ini, genaplah satu tahun pelantikan Datuk Wira sebagai Pengerusi KEDA.

Berbekalkan pengalaman beliau yang luas mencakupi sektor Kerajaan Persekutuan sebagai saintis di Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Negeri dan Diplomat serta bidang korporat, memberi kelebihan kepada beliau dalam menerajui kepimpinan KEDA.

Sejak dilantik, beliau membuat banyak pendekatan serta interaksi dengan pengurusan tertinggi dan semua peringkat kakitangan KEDA. Antaranya ialah Penubuhan Majlis Penasihat Kolej KEDA, pembesaran kapasiti pengeluaran air mineral di Charuk Tualang, Sik melalui penambahan telaga serta penubuhan Yayasan KEDA. Berikut adalah temu bual khas bersama Pengerusi KEDA, DATUK WIRA DR KU ABD RAHMAN KU ISMAIL.

Adakah terdapat perbezaan persepsi sebelum dan selepas Datuk dilantik sebagai Pengerusi KEDA?

Saya mulakan jawapan dengan terlebih dahulu memberi sedikit gambaran ringkas tentang kerjaya saya. Penglibatan saya dalam arena politik agak lewat.

Saya bertanding dan terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kali pertama pada tahun 2008 sewaktu usia saya 50 tahun.

Sebelum itu, iaitu selepas tamat pengajian saya peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Sains dan Teknologi Polimer saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya saya sebagai ahli profesional.

Disebabkan itu saya menganggap diri saya lebih kepada 'teknorat' yang terbabit dalam arena politik.

Kerjaya saya bermula sebagai saintis di Institut Penyelidikan Getah Malaysia. Selepas itu, saya masuk ke bidang korporat sebagai Pengarah Operasi dan Teknikal MARDEC Berhad, sebuah syarikat milik kerajaan persekutuan.

Syarikat ini berperanan membeli getah kering dan susu getah dari pekebun kecil dan diproses kepada SMR (Getah Mutu Malaysia) dan lateks pekat di kilang-kilangnya di seluruh Malaysia.

Kehadiran MARDEC membantu menstabilkan harga getah kepada pekebun kecil.

Seterusnya kerjaya saya beralih kepada jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Negeri. Pada 2001, saya 'dijemput' kembali ke negeri kelahiran oleh Menteri Besar Kedah ketika itu untuk menerajui Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), sebuah syarikat awam sebagai Pengarah Urusan.

Alhamdulillah, saya berjaya meningkatkan prestasi kewangan BDB dengan mencatatkan keuntungan yang meningkat setiap tahun.

Kerjaya terakhir saya sebelum terlibat secara aktif dalam arena politik ialah sebagai seorang diplomat iaitu Ketua Misi Malaysia (Defecto Ambassador) di Taiwan selama tiga tahun.

Sudah tiga penggal saya menjadi wakil rakyat (dari 2008 hingga kini) dan 2 penggal terpilih menjadi Exco kanan kerajaan negeri. Semua pengalaman ini membantu saya memberikan khidmat bakti dan sumbangan bermakna kepada KEDA.

Sebelum menjadi wakil rakyat dan pengerusi KEDA, persepsi saya terhadap KEDA ialah lebih kepada bina rumah baru, baik pulih rumah dan membangunkan penempatan baru untuk penduduk luar bandar yang memerlukan.

Persepsi ini berubah apabila saya dilantik sebagai Pengerusi KEDA.

Sebenarnya, fungsi dan peranan KEDA dalam mensejahterakan luar bandar adalah lebih dari hanya bina rumah. Ia mencakupi bidang yang amat luas termasuk meningkatkan tahap sosio ekonomi, bina insan, keusahawanan, prasarana, pembelajaran dan latihan (kemahiran) dan pelbagai lagi.

Di kesempatan ini, saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Dr Abd Latiff Ahmad Menteri Pembangunan Luar Bandar di atas kepercayaan yang diberikan dengan melantik saya sebagai Pengerusi KEDA.

Juga penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Noor, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah serta seluruh jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan di atas kerjasama diberikan dalam menjayakan pelaksanaan projek dan program KEDA.

Bagaimana situasi masyarakat luar bandar di Kedah pada hari ini?

Apabila bercakap mengenai masyarakat luar bandar, kita tidak boleh elak dari membicarakan isu kemiskinan.

Daerah-daerah di sebelah timur Kedah seperti Padang Terap, Sik dan Baling terutamanya mempunyai kawasan luar bandar yang luas.

Ramai penduduk di situ terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman adalah terdiri dari mereka yang berada pada paras kemiskinan. Mereka ini perlu diberi perhatian. Mereka serba serbi hidup dalam kekurangan. Dengan kerana itulah, banyak projek pembangunan KEDA dilaksanakan di tiga daerah berkenaan.

Kewujudan KEDA ialah bagi membantu membangunkan kawasan luar bandar di luar wilayah MADA. Di samping KEDA, agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang lainnya juga diberi peranan dan tanggungjawab dalam membangunkan luar bandar dari segi pembangunan prasarana, perumahan dan kemajuan sosio ekonomi penduduk.

Majoriti penduduk luar bandar tidak berpendapatan tetap kecuali mereka yang berkhidmat dengan kerajaan.

Ramai yang terlibat dengan bidang pertanian seperti berkebun, menoreh getah, bekerja sendiri dan sebagainya. Pendapatan mereka tidak menentu dan adakalanya tiada langsung. Pandemik Covid-19 ini menambahkan lagi kesusahan mereka. Kemiskinan adalah sesuatu yang dinamik dan sentiasa berubah. Ia tidak boleh dijangka.

Ada yang sudah keluar dari kepompong kemiskinan boleh kembali semula ke kancah ini.

Ada juga yang lama senang lenang sekelip mata boleh berada dalam kelompok ini. Setiap hari pasti ada penambahan golongan miskin. Ini termasuklah golongan anak muda kini. Di Malaysia, golongan masyarakat miskin sentiasa dibela oleh kerajaan. Syukur Alhamdulillah, penubuhan KEDA ini adalah bukti keprihatinan kerajaan.

Melalui peranan KEDA, keadaan luar bandar di Kedah jauh lebih baik berbanding sebelum ia ditubuhkan. Bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan luar bandar, adalah disarankan, kerajaan membangunkan lebih banyak kawasan industri di luar bandar seperti Rubber City di Padang Terap.

Apakah cabaran yang harus ditempuhi KEDA dalam kelangsungan pembangunan masyarakat luar bandar di negeri ini?

Sejak penubuhan KEDA selama empat dekad yang lalu, saya percaya KEDA telah melalui pelbagai cabaran dalam membawa dan melaksanakan pembangunan kepada penduduk luar bandar.

Namun semua cabaran ini telah diambil secara positif dan berjaya diatasi dengan baik. Segala cabaran yang kita lalui, tidak boleh mematahkan semangat kita, KEDA dan semua kakitangannya dalam usaha membantu rakyat dalam aspek ekonomi dan sosial.

Segala cabaran yang kita lalui, tidak boleh mematahkan semangat kita, KEDA dan semua kakitangannya dalam usaha membantu rakyat dalam aspek ekonomi dan sosial.

Setiap cabaran harus dijadikan pengajaran yang berguna dan boleh dijadikan penambahbaikan kepada pelaksanaan projek atau mekanisma bantuan yang diberikan. Antara cabaran utama yang menjadi perhatian saya adalah pelaksanaan skim bantuan yang menepati keperluan kumpulan sasar serta mampu mendatangkan hasil yang baik kepada penerimanya.

Apatah lagi dengan pandemik Covid-19 yang masih melanda dan memberi kesan kepada masyarakat. Maka pendekatan terkini perlu diambil dan pelaksanaannya juga perlu pantas.

Kita perlu mengenalpasti kemampuan peserta dan kemahiran yang dimilikinya. Yang penting, ialah memastikan delivery system yang berkesan.

Mekanisma pemantauan dan pembangunan projek diperlukan demi memastikan projek berjalan dengan baik dan tidak hangat-hangat tahi ayam. Manfaat atau tidak, kesannya adalah kepada peserta itu sendiri.

Cabaran seterusnya adalah dalam aspek pembangunan infrastruktur dan pembangunan hartanah di luar bandar.

Masih banyak keperluan infrastruktur dan ameniti sosial yang perlu KEDA ambil perhatian seperti jalan kampung, bekalan air luar bandar dan premis perniagaan kepada usahawan desa.

KEDA perlu mengenalpasti projek yang harus diberi keutamaan serta memberi impak kepada kumpulan masyarakat teramai. Isu berkaitan pemilikan tanah, pengambilalihan tanah dan pengurusan aset perlu diselaraskan dengan baik bersama kerajaan negeri dan jabatan yang berkenaan agar dapat mewujudkan situasi menang-menang.

Pembangunan dalaman KEDA itu sendiri juga boleh dilihat sebagai cabaran.

Hal berkaitan perjawatan perlu dikemaskini dari semasa ke semasa agar sumber manusia berada dalam keadaan optimum untuk menjalankan tugas.

Ilmu dan kemahiran kepada kakitangan perlu ditambah dari semasa ke semasa melalui latihan, bengkel dan kursus agar kakitangan boleh menjalankan tugas dengan berkesan dan berintegriti serta mampu mengadaptasi dengan keperluan tugas semasa dengan baik lebih-lebih lagi dalam era digitalisasi ini, tenaga kerja perlu diberi latihan dan pendedahan supaya mampu memaksimumkan teknologi digital.

Semua ini akhirnya akan memberi kesan positif kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan. Saya juga merasakan KEDA perlu meningkatkan usaha publisiti dan hebahan maklumat kepada rakyat, khususnya kumpulan sasar.

Segala pencapaian KEDA juga perlu diberikan liputan meluas melalui pelbagai media yang ada masa kini.

Bukan sahaja untuk terus mempromosikan KEDA malah yang lebih penting adalah agar kumpulan sasar sedar bahawa mereka ada tempat untuk bergantung harap iaitu KEDA.

Cabaran seterusnya adalah bagaimana untuk meletakkan KEDA agar terus relevan dalam arus pembangunan semasa di peringkat negeri, malah mungkin kebangsaan.

Keperluan pembangunan luar bandar adalah sesuatu yang bersifat dinamik, sentiasa berubah dan sukar diramal.

Maka KEDA perlu cepat bergerak dengan perubahan ini. Di sinilah pentingnya untuk kita mempunyai pelan strategik yang mapan dan hala tuju yang jelas serta sesuai dengan keperluan pembangunan masa hadapan.

Apakah strategi perancangan yang Datuk dan pengurusan KEDA sedang rangka untuk masyarakat luar bandar?

Mendepani pandemik Covid 19 yang semakin membimbangkan dan kesempitan rakyat yang terkesan, saya merasakan KEDA perlu menjadi salah sebuah agensi penyokong atau pendokong seperti frontliners dalam berhadapan dengan isu-isu yang berkaitan.

Namun, kerja buat KEDA bukanlah melibatkan kesihatan mahupun keselamatan tetapi ianya lebih menjurus kepada peranan sebagai agensi memberi sokongan bagi kelangsungan kehidupan.

Bagi 2021, hampir 15 peratus daripada keseluruhan RM47 juta peruntukan pembangunan KEDA akan isalurkan bagi memberi bantuan projek ekonomi kepada rakyat Kedah.

Bantuan projek ekonomi ini adalah salah satu usaha utama KEDA ketika ini untuk membantu rakyat yang terkesan seperti dibuang kerja, ketiadaan modal atau kekurangan sumber kewangan untuk meneruskan perniagaan.

Bentuk bantuan ini juga dipelbagaikan untuk hampir kesemua sektor seperti pertanian, perkhidmatan, makanan dan minuman.

Bantuan juga boleh dipohon oleh badan-badan NGO yang mampu memberikan kesan positif kepada sosio ekonomi masyarakat. Selain itu, untuk pelan jangka masa panjang, hebahan terhadap pelan sokongan dan bantuan perlu diperluas dengan pelbagai segi.

Kita mahu segala bentuk bantuan dapat dicapai oleh mereka yang layak di semua pelosok negeri Kedah.

Selain itu, pemerkasaan modal insan dari sudut pendekatan keagamaan juga akan diberi keutamaan. Ianya dilihat cukup penting dalam melestarikan kemajuan dan ketamadunan yang negara kita sedang bina hari ini. Bertahannya tamadun bergantung kepada kukuhnya pegangan asas jati diri dalam kalangan rakyat itu sendiri.

Apakah harapan YB kepada KEDA dalam meneruskan khidmat dan peranannya?

Meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk dalam kawasan KEDA dengan memberi tumpuan kepada penduduk luar bandar negeri Kedah supaya melibatkan diri secara aktif dalam program pembangunan kerajaan ke arah menjadikan kawasan luar bandar, maju, menarik dan sejahtera semestinya menjadi harapan tinggi saya. Pertama, warga KEDA harus sentiasa bersyukur dengan kemampuan dan pencapaian cemerlang yang berjaya dilakar selama empat dekad sejak penubuhannya.

KEDA juga perlu sentiasa berterima kasih kepada semua pihak antaranya penerima bantuan, penduduk Desa KEDA, usahawan bimbingan, pelajar Kolej KEDA dan semua pemegang taruh serta pihak lain yang banyak membantu KEDA sejak mula penubuhannya sehingga kini. Kecemerlangan sesuatu agensi itu turut disumbangkan oleh semua kakitangan yang benar-benar memahami dan menghayati semua objektif, misi, visi dan fungsi.

Saya berharap dan percaya seluruh warga KEDA benar-benar memahami dan menghayati agenda dan pelan strategik KEDA agar mereka sentiasa dalam keadaan siap siaga, mampu dan komited untuk terus melaksanakan amanah yang diletakkan di atas bahu mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:01 AM