KURSUS Teknologi Fabrik (Wanita dan Lelaki) adalah antara kursus kemahiran yang ditawarkan di Kolej KEDA.
KURSUS Teknologi Fabrik (Wanita dan Lelaki) adalah antara kursus kemahiran yang ditawarkan di Kolej KEDA.
KOMPLEKS Ibu Pejabat KEDA menjadi salah satu mercu tanda baharu di kawasan Alor Setar.
KOMPLEKS Ibu Pejabat KEDA menjadi salah satu mercu tanda baharu di kawasan Alor Setar.

Alor Setar: Aspirasi membangunkan masyarakat luar bandar akan terus menjadi hala tuju Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sempena menyambut 40 tahun penubuhannya pada 28 Mei lalu.

KEDA yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ditubuhkan pada 28 Mei 1981 di bawah Akta 249, Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) 1981.

Agensi ini bertanggungjawab memajukan pembangunan ekonomi dan sosial serta menumpukan pembangunan infrastruktur termasuk pertanian dan perindustrian bagi memastikan jurang kemiskinan dikurangkan selain mewujudkan keseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar dalam wilayah KEDA.

Kawasan operasi KEDA merangkumi 90 peratus keluasan keseluruhan Negeri Kedah iaitu bersamaan 8,564 kilometer persegi atau secara khususnya KEDA melaksanakan tanggungjawab operasinya di seluruh negeri Kedah kecuali kawasan di bawah pentadbiran MADA.

Penubuhan KEDA satu strategi pembangunan yang pada awalnya untuk mengimbangi pembangunan antara kawasan MADA dan luar kawasan MADA.

PEMBANGUNAN modal insan melibatkan semua lapisan umur daripada  kanak-kanak hingga dewasa.
PEMBANGUNAN modal insan melibatkan semua lapisan umur daripada kanak-kanak hingga dewasa.

Hasil Kajian Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (JPPN) yang dilaksanakan pada 1979 mendapati wujud jurang kemiskinan dan pembangunan tidak seimbang antara kawasan MADA dan luar MADA dari segi kemiskinan, keselamatan, pembangunan yang perlahan dan pendapatan yang rendah.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), KEDA mendukung visi dan misi Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk terus menjadi peneraju pembangunan di wilayah KEDA bagi mencapai visi Luar Bandar Sejahtera.

Pengerusinya, Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, kewujudan KEDA di Kedah memberi impak yang sangat besar dalam usaha membangunkan prasarana dan sosioekonomi masyarakat luar bandar bagi memastikan moto Mensejahterakan Luar Bandar menjadi kenyataan.

Beliau berkata, penduduk Kedah seharusnya bersyukur dengan khidmat bakti KEDA selama 40 tahun apabila ada agensi Persekutuan yang khusus menyediakan kemudahan secara terus kepada penduduk luar bandar.

Menurutnya, kini terdapat banyak pembangunan prasarana dan kemudahan asas dilaksanakan KEDA.

Katanya, mungkin ramai mengenali KEDA dengan pembinaan rumah untuk golongan kurang berkemampuan namun sesungguhnya, operasi KEDA mencakupi penyediaan kemudahan asas sehinggalah kepada hal seperti pemerkasaan modal insan, kerohanian dan pendidikan masyarakat luar bandar.

KEDA Resort Bendang Man di Sik menjadi salah satu kawasan tarikan pelancong yang menginginkan suasana bertemakan alam semula jadi.
KEDA Resort Bendang Man di Sik menjadi salah satu kawasan tarikan pelancong yang menginginkan suasana bertemakan alam semula jadi.

Jelasnya, dalam bidang pembelajaran dan latihan, KEDA menubuhkan Kolej KEDA yang memberi tumpuan terhadap aspek kemahiran kepada golongan belia.

"Dalam suasana pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, sambutan ulang tahun penubuhan KEDA kali ini lebih menjurus kepada usaha dalam memudah cara urusan rakyat dengan agensi ini seperti memohon bantuan, projek pembangunan dan pemantapan kemahiran kakitangan dengan pendekatan dan trend masa kini yang lebih mencabar," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar KEDA Kamarudin Abd Akib berkata, sejak penubuhan KEDA pada Rancangan Malaysia Keempat (RMKe-4) hingga Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), sejumlah RM801,125 juta dibelanjakan KEDA untuk membangunkan wilayah KEDA yang merangkumi beberapa sektor utama iaitu pembangunan prasarana dan infrastruktur, pembangunan pertanian dan penternakan, pembangunan ekonomi dan keusahawanan serta pembangunan modal insan.

"Pada RMKe-12 ini KEDA terus diberi kepercayaan dan mandat sebagai antara Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) yang mendapat peruntukan terbanyak iaitu sejumlah RM47 juta pada 2021.

AKTIVITI pertanian dan penternakan turut menjadi fokus dalam pembangunan masyarakat luar bandar di KEDA.
AKTIVITI pertanian dan penternakan turut menjadi fokus dalam pembangunan masyarakat luar bandar di KEDA.

"KEDA akan terus menabur bakti membangunkan bidang keutamaan KEDA terutama pembangunan ekonomi penduduk luar bandar yang terjejas dengan pandemik Covid-19 ini," katanya.

Menurutnya, KEDA memperluaskan bantuan ekonomi termasuk peralatan bagi membolehkan kumpulan sasar meningkatkan pendapatan.

Program bantuan ekonomi itu katanya, dipercepatkan pelaksanaannya agar kesan positif dinikmati penduduk luar bandar.

Mengulas lanjut mengenai sambutan 40 tahun penubuhan KEDA, Kamarudin berkata, usia 40 tahun penubuhan KEDA ini sudah pastinya mematangkan organisasi itu untuk terus memberi khidmat cemerlang kepada rakyat dalam wilayah KEDA khususnya dan rakyat Kedah secara amnya.

"Cabaran yang mendatang sudah pasti memberi tekanan, saya yakin dengan kolaborasi staf berpengalaman dan staf baru yang bertenaga, KEDA pasti dapat melaluinya.

"Ini ditambah pula kerjasama erat antara agensi dengan Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang senantiasa membantu operasi kami," katanya.

PEMERKASAAN latihan kemahiran kepada golongan belia turut ditekankan dengan penubuhan Kolej KEDA di Sik.
PEMERKASAAN latihan kemahiran kepada golongan belia turut ditekankan dengan penubuhan Kolej KEDA di Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 2:47 PM