Nur Atikah (kanan) dan Isomuddin menunjukkan replika bentuk bantuan yang diterima. Foto Noorazura Abdul Rahman
Nur Atikah (kanan) dan Isomuddin menunjukkan replika bentuk bantuan yang diterima. Foto Noorazura Abdul Rahman
Oleh Noorazura Abdul Rahman

Kuala Nerang: Tidak pernah rasa kotor dan berbau hanyir.

Itu antara kelebihan seorang graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang menjadikan ternakan ikan keli sebagai sumber pendapatan tetapnya selepas

tamat pengajian dua tahun lalu.

Nur Atikah Amran, 25, berkata, dia tidak kekok untuk berada di dalam kolam ikan keli kerana sudah biasa berbuat demikian sejak berusia 12 tahun.

Katanya, perniagaan ikan keli yang diambil alih daripada bapanya, Amran Samsudin, 51, kini lebih maju selepas dia menerima bantuan peralatan dan kolam baharu daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

"Pada mula saya ambil alih dulu, jualan ikan keli kami merudum teruk akibat pandemik Covid-19. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak pasar borong tidak beroperasi.

"Selepas ada sedikit kelonggaran, jualan kembali meningkat dan lebih baik terutamanya selepas mendapat bantuan peralatan dan kolam baharu daripada KEDA. Saya kini menerima tempahan ikan keli hampir satu tan setiap hari.

"Terima kasih kepada KEDA yang banyak membantu saya. Alhamdulillah, bantuan ini saya dapat guna sebaiknya untuk meningkatkan pendapatan keluarga," katanya yang tinggal di Kampung Kubang Kenyeng di sini.

Nur Athikah merupakan antara 10 penerima bantuan ekonomi bagi Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB) dan Program Tranformasi Desa dan Pengupayaan Komuniti (PTDPK) KEDA yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam Majlis Iftar Bersama Warga KEDA di sini.

Mahdzir Khalid menyerahkan replika bantuan kepada Isomuddin. Foto Noorazura Abdul Rahman
Mahdzir Khalid menyerahkan replika bantuan kepada Isomuddin. Foto Noorazura Abdul Rahman

Bagi penerima program PTDPK, Isomuddin Ismail, 38, dia sangat gembira dipilih menerima bantuan daripada KEDA selepas memulakan perniagaan menjual kerepek pisang pada awal pandemik Covid-19.

Katanya, bantuan peralatan yang diberikan KEDA banyak membantu melancarkan kerja-kerja menyediakan kerepek pisang.

"Hasil jualan kerepek pisang saya kini sudah mencecah RM2,000 sebulan, terima kasih kepada KEDA yang banyak membantu saya untuk bangkit semula dalam perniagaan selepas perniagaan katering terpaksa ditutup kerana PKP sebelum ini," katanya yang tinggal di Kampung Bukit Nambua di sini.

Sementara itu, Mahdzir berkata, KEDA membelanjakan RM6.4 juta bagi membantu 10,350 pesertanya dalam pelbagai aktiviti ekonomi pada tahun ini.

Kata beliau, bantuan yang diberikan termasuk peralatan, infrastruktur dan program pembangunan keusahawanan.

"Bantuan ekonomi disalurkan melalui projek pertanian, ternakan dan perniagaan.

"Antaranya seperti benih dan baja, jentera pertanian, bina kandang ternakan, mesin dan peralatan perniagaan, kursus kemahiran serta khidmat bimbingan usahawan," katanya.

Mahdzir Khalid menyerahkan replika bantuan kepada Nur Atikah. Foto Noorazura Abdul Rahman
Mahdzir Khalid menyerahkan replika bantuan kepada Nur Atikah. Foto Noorazura Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 1:45 PM