ISMASUHAIMI (dua dari kiri) ketika melihat produk dan beramah mesra dengan alumni Kolej KEDA.  FOTO Noorazura Abdul Rahman
ISMASUHAIMI (dua dari kiri) ketika melihat produk dan beramah mesra dengan alumni Kolej KEDA. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Sungai Petani: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengukuhkan kerjasama strategik bersama industri termasuk alumni Kolej KEDA untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di institusi berkenaan.

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata kerjasama itu akan mewujudkan platform perkongsian maklumat dan penambahbaikan pendidikan di kolej berkenaan seterusnya mengukuhkan ukhwah antara alumni dan warga kolej.

"Ia secara tidak langsung akan sedikit sebanyak memindah kepakaran dan khidmat nasihat berkaitan pembangunan kurikulum dan teknologi terkini di industri kepada pelajar.

"Malah, kita juga mensasarkan kebolehpasaran graduan Kolej KEDA meningkat kepada 100 peratus selepas ini berbanding kini 95 peratus dengan wujudnya kerjasama ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Town Hall Bersama 200 Alumni Kolej Keda dan Kerjasama Strategik Bersama Industri tahun 2023 di sini.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Afifah Omar dan Pengarah Kolej KEDA, Che Ridzuan Mohamad Isa.

Pada masa sama, turut diadakan majlis pertukaran dokumen persefahaman (MOU) oleh pihak Kolej KEDA diwakili Che Ridzuan bersama-sama 10 industri terpilih.

Wakil industri itu adalah Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) Sdn Bhd, Syarikat Kopiah Industri Sdn Bhd, Proweld Training Centre Sdn Bhd Home Taylor Garment, MRY Unik Enterprise, Nenda Classic Legacy, Litar Abadi Sdn Bhd, Bernas Jaya Enterprise, Syarikat Elektrik Monas, Butik dan Bengkel Awie Manik.

ISMASUHAIMI (empat dari kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Alumni  Kolej KEDA pada Majlis Town Hall Bersama Alumni Kolej KEDA dan Kerjasama Strategik Bersama Industri Tahun 2023. FOTO BERNAMA
ISMASUHAIMI (empat dari kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Alumni Kolej KEDA pada Majlis Town Hall Bersama Alumni Kolej KEDA dan Kerjasama Strategik Bersama Industri Tahun 2023. FOTO BERNAMA

Mengulas lanjut, Ismasuhaimi berkata menerusi kerjasama itu pihaknya yakin akan dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam mentransformasikan TVET selari dengan permintaan industri selain membangunkan modal insan luar bandar yang lebih komprehensif.

Katanya, ia juga seiring dengan langkah proaktif KEDA untuk menawarkan lebih banyak program diploma bagi memastikan peluang graduan Kolej KEDA lebih cerah dalam pasaran kerja.

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Ikon Alumni Kolej KEDA, Mohd Rodzi Suid, 42, berkata dia sangat bersyukur dapat melanjutkan pengajian di Kolej Keda dalam jurusan elektrik pada tahun 2000.

Ini kerana katanya, hasil pendidikan di kolej berkenaan, dia kini mampu menjana pendapatan kepada enam angka sebulan.

"Saya kini kontraktor elektrik yang berpusat di Langkawi, sebelum membuka peniagaan sendiri lebih 10 tahun lalu, saya menimba pengalaman dengan bekerja makan gaji terlebih dahulu selama 10 tahun, jadi saya kini turut memberi peluang kepada pelajar Kolej KEDA untuk menjalani latihan amali di syarikat saya.

"Boleh dikatakan antara semua pelatih amali dari pelbagai institusi pengajian, pelajar Kolej KEDA paling menyerlah kerana di sana mereka didedahkan dengan cara bekerja (kemahiran) yang sebenar," kata bapa kepada dua anak ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 7:28 AM