PELBAGAI perkakasan elektrik   berjaya dibaik pulih dalam Misi Bantuan Banjir Selangor yang dilancarkan oleh Kolej KEDA. FOTO IHSAN KOLEJ KEDA
PELBAGAI perkakasan elektrik berjaya dibaik pulih dalam Misi Bantuan Banjir Selangor yang dilancarkan oleh Kolej KEDA. FOTO IHSAN KOLEJ KEDA
Ruwaida Md Zain

Banting: Membaik pulih ratusan barangan elektrik mangsa terjejas banjir secara percuma oleh penuntut dan kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Kolej KEDA) bukan sahaja satu pengalaman yang berharga.

Malah, inisiatif menerusi Misi Bantuan Banjir Selangor itu dilihat sebagai nilai tambah kepada ilmu dan kemahiran yang sangat bermanfaat kepada pelajar selepas tamat pengajian kelak.

Pengarah Kolej KEDA, Che Ridzuan Mohamad Isa berkata, Skuad Misi Banjir Kolej KEDA dengan kekuatan 30 pelajar dan kakitangan berjaya menyantuni 40 rumah di dua lokasi berbeza iaitu di Kampung Jawa, Klang dan Kampung Tengah Bukit Changgang, Banting.

"Misi kali ini disertai tenaga pengajar dan pelajar kursus Teknologi Elektrik dan Penyejukbekuan Penyaman Udara.

"Mereka berjaya membantu membaik pulih perkakasan elektrik seperti periuk nasi, peti sejuk, televisyen, dapur, mesin basuh dan penyaman udara daripada dibuang begitu sahaja tanpa diperiksa terlebih dahulu.

"Misi ini ada dua matlamat utama dengan konsep berilmu dan berbakti, saya berharap pelajar terbabit dapat menggunakan ilmu dipelajari dengan membaik pulih barangan elektrik dan penyaman udara di sini," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

PENUNTUT dan kakitangan Kolej KEDA membantu membaik pulih barangan elektrik mangsa terjejas banjir di Klang dan Banting. FOTO IHSAN KOLEJ KEDA
PENUNTUT dan kakitangan Kolej KEDA membantu membaik pulih barangan elektrik mangsa terjejas banjir di Klang dan Banting. FOTO IHSAN KOLEJ KEDA

Che Ridzuan yang mengetuai misi itu berkata, inilah bakti yang dapat diberi kepada mangsa banjir bagi meringankan beban dan kerugian yang ditanggung mangsa ketika ini.

Beliau juga berharap penuntut yang terbabit akan menjadikan misi itu sebagai medan latihan dan menambah pengalaman selain mengukuhkan semangat kerjasama antara mereka.

Sementara itu, seorang penuntut Kursus Teknologi Elektrik, Muhammad Naim Sukri berkata, dia berasa bertuah menyertai misi ini kerana turut merasai keluhan mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

"Saya bersemangat untuk membantu membaiki peralatan elektrik berbekalkan apa yang saya pelajari di Kolej KEDA.

"Semoga apa yang kami lakukan di sini dapat meringankan bebanan mereka," katanya.

Bagi penuntut Kursus Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara Muhammad Muzakir Salleh pula, ilmu diperolehi di Kolej KEDA terbukti memberikan kelebihan kepadanya untuk membaik pulih penyaman udara yang rosak.

"Peluang belajar di Kolej KEDA yang mempunyai tenaga pengajar dan peralatan lengkap ternyata membantu saya dalam usaha membaik pulih penyaman udara dalam misi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 12:56 PM