Pengerusi KEDA,Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, (dua dari kiri) menyerahkan replika cek sumbangan takaful berkelompok (kemalangan) pelajar Kolej KEDA kepada waris Nurul Nabilah, Asmadi Ismail (dua dari kanan),turut kelihatan Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib (kanan) dan ADUN Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat (kiri) di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam.  FOTO AMRAN HAMID
Pengerusi KEDA,Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, (dua dari kiri) menyerahkan replika cek sumbangan takaful berkelompok (kemalangan) pelajar Kolej KEDA kepada waris Nurul Nabilah, Asmadi Ismail (dua dari kanan),turut kelihatan Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib (kanan) dan ADUN Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat (kiri) di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam. FOTO AMRAN HAMID
Oleh Noorazura Abdul Rahman

Yan: Kolej KEDA komited menjaga kebajikan semua pelajarnya dengan memperuntukkan RM18,000 setahun bagi pembiayaan Takaful Berkelompok (Kemalangan).

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, polisi takaful berkelompok itu membabitkan beberapa skim perlindungan antaranya bayaran perbelanjaan perubatan sebanyak RM2,000 kepada pelajar.

Katanya, bayaran pampasan itu turut membabitkan kemalangan mengakibatkan kecacatan kekal sehingga maksimum RM30,000 dan bayaran pampasan kematian akibat kemalangan sebanyak RM30,000.

"Bagi pelajar kursus Teknologi Kimpalan, Teknologi Elektrik, Teknologi Penyejuk Bekuan dan Penyaman Udara yang terbabit secara langsung dalam tapak binaan, Kolej KEDA mewajibkan pelajar mendapatkan akreditasi Kad Hijau daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Untuk mendapatkan akreditasi Kad Hijau ini, setiap pelajar dikenakan bayaran sebanyak RM50 untuk tempoh selama dua tahun dan kos ini ditanggung sepenuhnya Kolej KEDA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan Takaful Berkelompok (Kemalangan) kepada keluarga pelajar Kolej KEDA yang meninggal dunia akibat kemalangan Jun tahun lalu di Kampung Kabu, Sungai Limau Dalam.

Abd Rahman berkata, faedah akreditasi Kad Hijau itu adalah untuk tempoh 24 jam dan pemegang kad turut dilindungi pelan takaful untuk kes kemalangan ketika di dalam dan luar tempat kerja.

Selain itu, katanya, Kolej KEDA turut memperuntukkan RM1.35 juta setahun untuk menyediakan makanan dan minuman secara percuma sebanyak empat kali sehari kepada pelajar.

"Kemudahan penginapan asrama juga disediakan secara percuma kepada semua pelajar.

"Secara purata RM9,000 diperuntukkan bagi membiayai seorang pelajar melalui aktiviti pembelajaran dan kokurikulum di Kolej KEDA," katanya.

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata, pihaknya kini mempertimbang untuk memberi elaun bulanan kepada pelajar.

Katanya, perkara itu akan diketengah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terlebih dahulu sebelum ia diluluskan di peringkat atasan.

"Saya berharap pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon untuk mengikuti latihan di Kolej KEDA kerana kita beri pelbagai kemudahan kepada pelajar secara percuma.

"Pelajar kita secara majoritinya memperoleh kerja selepas tamat latihan dan ramai menjadi usahawan menerusi kemahiran yang kita terapkan kepada mereka," katanya.

Rozita Abdullah bersama suami ,Asmadi Ismail melihat replika cek sumbangan takaful berkelompok (kemalangan) pelajar Kolej KEDA anaknya Allahyarhamah, Nurul Nabilah Asmadi  di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam.  FOTO AMRAN HAMID
Rozita Abdullah bersama suami ,Asmadi Ismail melihat replika cek sumbangan takaful berkelompok (kemalangan) pelajar Kolej KEDA anaknya Allahyarhamah, Nurul Nabilah Asmadi di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam. FOTO AMRAN HAMID

Guna wang pampasan sebaiknya

Yan: "Saya akan guna wang pampasan insurans ini sebaik mungkin untuk kegunaan kenduri tahlil arwah serta untuk pelajaran anak saya yang lain," kata Rozita Abdullah, 44.

Ibu kepada lima anak itu bersyukur menerima sumbangan Takaful Berkelompok (Kemalangan) sebanyak RM30,000 dan RM750 untuk pengurusan jenazah daripada Kolej KEDA selepas anaknya Nurul Nabilah Asmadi, 19, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya Jun tahun lalu.

Katanya, kehilangan anak ketiganya sangat dirasai kerana arwah paling manja antara adik-beradik yang lain.

"Anak saya meninggal dunia akibat nahas ketika dalam perjalanan menghantar kek kepada pelanggan bersama rakan selepas kereta dinaiki bertembung kenderaan lain di Jalan Titi Batu, Yan jam 7.20 malam 13 Jun tahun lalu.

"Saya reda dengan pemergian arwah, dia sering meletakkan kepalanya di riba saya, tapi Allah lebih sayangkan dirinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam di sini.

Sumbangan takaful berkelompok diserahkan sendiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail di rumahnya yang turut dihadiri Pengurus Besar KEDA Kamarudin Abd Akib dan Adun Sungai Limau Mohd Azam Abdul Samat.

Bapa Nurul Nabilah, Asmadi Ismail, 46, berkata, dia terharu dengan sumbangan itu yang menunjukkan keprihatinan pihak KEDA terhadap pelajarnya.

Katanya, Nurul Nabilah sebelum ini mengikuti kursus Teknologi Makanan Tahap 2 Sijil Kemahiran Malaysia di Kolej KEDA berikutan minatnya terhadap bidang kulinari.

"Jika anak saya yang lain mahu melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran ke Kolej KEDA, saya akan izinkan kerana saya melihat sendiri kemahiran anak saya hasil belajar di sana.

"Saya akan guna wang insurans ini sebaik mungkin untuk pelajaran anak," katanya yang juga seorang pesawah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 9:31 PM