Mohd Roji Kawi


Kuching: Pemasangan lampu raya dan pelita bagi memeriahkan suasana pada malam perayaan Aidilfitri perlu dilakukan dengan baik bagi mengelak berlaku tragedi kebakaran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sambungan elektrik perlu dibuat dengan cara betul dan dilakukan oleh pakar bagi mengelak berlaku litar pintas.

Selain itu katanya, orang ramai juga harus memastikan tidak terlalu banyak sambungan dilakukan pada satu punca kerana ia akan menyebabkan bebanan tenaga.

"Apabila tiba musim perayaan Aidilfitri, ramai yang menghias kediaman dengan lampu warna-warni bagi memeriahkan suasana.

"Pihak bomba menasihatkan supaya elak membuat penyambungan tenaga elektrik secara haram kerana ia mendedahkan kepada risiko litar pintas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 JBPM Sarawak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman dan Timbalannya, Tiong Ling Hii.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, bagi yang menggunakan pelita pula, mereka perlu memastikan minyak yang digunakan tidak tumpah.

"Kelalaian ketika menuang minyak boleh menyebabkan kejadian buruk berlaku dan memang biasa terjadi ada yang melecur ketika memasang pelita disebabkan minyak tumpah.

"Sebab itu, apa sahaja yang kita lakukan untuk memeriahkan suasana perayaan atau dipanggil tradisi bertuntung di Sarawak, langkah keselamatan harus diutamakan," katanya.

Bagi kanak-kanak yang bermain mercun dan bunga api pula, katanya, ianya harus dilakukan di kawasan lapang dan diawasi orang dewasa.

"Jangan sesekali mengarahkan mercun atau bunga api ke tempat yang mudah terbakar dan ini yang biasa menjadi punca kebakaran pada musim perayaan sekali gus menyebabkan kes kebakaran meningkat antara 20 hingga 30 peratus," katanya.

DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid, menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Tahun 2021 di The Waterfront Hotel, Kuching. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid, menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Tahun 2021 di The Waterfront Hotel, Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 3:00 PM