Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seramai 1,696 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dijangkiti Covid-19 dengan dua daripadanya meninggal dunia, sejak wabak melanda negara Mac tahun lalu.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ketika ini terdapat 68 orang yang menerima rawatan di hospital, menjalani kuarantin di rumah dan ada juga di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

"Virus ini telah mengorbankan dua pegawai kita di Sabah dan Negeri Sembilan. Kita difahamkan kedua-dua mereka bukan mendapat jangkitan ketika bertugas, sebaliknya ketika berada dalam komuniti.

Mohammad Hamdan hadir pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM negeri Pulau Pinang di Hotel The Light di sini. FOTO DANIAL SAAD
Mohammad Hamdan hadir pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM negeri Pulau Pinang di Hotel The Light di sini. FOTO DANIAL SAAD

"Mereka yang positif juga tidak melibatkan jangkitan dalaman daripada balai bomba sendiri sebaliknya komuniti, dengan kebanyakannya melakukan kuarantin di rumah kerana tidak mengalami gejala yang teruk," katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 di sini hari ini.

Mohammad Hamdan turut memaklumkan 26 peratus daripada 14,500 anggota serta pegawai JBPM di seluruh negara sudah menerima suntikan dos penggalak Covid-19.

"Kita akan pastikan semua anggota dan pegawai mendapatkan suntikan dos penggalak memandangkan pengurusan bencana khususnya banjir ketika ini amat mencabar," katanya yang menggalakkan anggota menerima dos penggalak itu untuk lebih perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 8:41 PM