SULAIMAN (kiri) melambai tangan kepada kakitangan Pejabat Ketua Menteri pada hari pertama beliau memulakan tugas di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
SULAIMAN (kiri) melambai tangan kepada kakitangan Pejabat Ketua Menteri pada hari pertama beliau memulakan tugas di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Meneruskan amanah dan mandat diberikan rakyat seperti dijanjikan menjadi antara fokus utama Datuk Seri Sulaiman Md Ali apabila kembali memulakan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka.

"Pada saya, ini bukan satu tugas mudah apabila diberi kepercayaan, amanahnya lebih berat bermakna tugasan menanti pasukan saya juga besar.

"Besar daripada segi ujian serta kemahuan dan kehendak rakyat yang harus kita kotakan kerana apa terkandung dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) akan saya laksanakan segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, dalam aku janji atau manifesto BN, ada perkara perlu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, setahun atau dua tahun seperti ditetapkan dalam aku janji itu.

"Ini menjadi fokus utama saya dahulu. Janji mesti dikotakan, janji mesti dilaksanakan," katanya sambil menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai pegawai yang memberi kerjasama terbaik demi kemakmuran rakyat Melaka.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, selepas ini, beliau akan bertemu dan berbincang semula dengan pegawai kanan kerajaan negeri Melaka dan ahli ex officio untuk melihat perkara akan dilaksanakan.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas BN berjaya membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama pada 1 pagi Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 1:09 PM