Ekhwan Haque Fazlul Haque


Ayer Keroh: Calon Barisan Nasional (BN) yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, diingatkan supaya terus konsisten dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, tugas berat bakal menanti calon BN sebaik mandat diberikan kerana mereka perlu membalas keyakinan dan kepercayaan rakyat.

Beliau berkata, BN mempunyai pelbagai inisiatif dan pelan jangka pendek serta panjang untuk rakyat Melaka supaya pembangunan semua aspek boleh ditingkatkan.

Malah, katanya, calon BN adalah perantara antara kerajaan negeri dan rakyat dalam menterjemahkan pelbagai agenda pembangunan untuk membawa Melaka sebagai sebuah negeri maju.

"Melaka memiliki pelbagai potensi untuk dibangunkan dan calon BN, terutama calon muda perlu bersedia menggalas tanggungjawab berat mandat diberikan pengundi.

"BN ada 'track record' konsisten dalam membangunkan Melaka dan rakyatnya supaya setanding dengan negeri lain, malah mampu bersaing di persada dunia," katanya pada temu bual bersama Kumpulan NSTP di kediamannya di Seri Bendahara, malam tadi.

Sulaiman berkata, sebanyak 103 inisiatif digariskan dalam Manifesto BN sempena PRN Melaka bukan sekadar cantik di atas kertas kerana BN komited untuk menterjemahkannya kepada realiti.

Beliau berkata, manifesto itu menyentuh semua aspek dan seimbang dari segi pembangunan fizikal, ekonomi, kesihatan dan rakyat dalam mendepani zaman serba mencabar pasca Covid-19.

"Pelan Strategik Melaka Maju Jaya 2035 adalah pelan jangka panjang 15 tahun kerajaan BN untuk membawa Melaka menjadi negeri berdaya saing dan berpendapatan tinggi.

"Negeri ini memiliki pelbagai potensi antaranya pembangunan pelabuhan yang boleh meningkatkan kedatangan kapal dagang melalui laluan Selat Melaka.

"BN mahu mengembalikan kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan tumpuan dunia seterusnya mampu meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat, malah hasil daripada sektor perdagangan ini akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan, infrastruktur, pendidikan dan ekonomi," katanya yang juga calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Lendu pada PRN kali ini.

Sulaiman berkata, rakyat Melaka perlu memberikan peluang dan mandat untuk BN meneruskan legasi kecemerlangan yang sudah terbukti memberi impak positif daripada pelbagai aspek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 11:29 AM