Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) mengimbas kad waktu elektronik bagi memulakan tugas pada hari pertama beliau di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) mengimbas kad waktu elektronik bagi memulakan tugas pada hari pertama beliau di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Datuk Seri Sulaiman Md Ali memulakan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 dengan memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pagi ini.

Sulaiman, 55, tiba dengan menaiki kenderaan rasmi Ketua Menteri pada 8.25 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hasim Hasan serta kakitangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau kemudian mengimbas kad perakam waktu di pintu masuk pejabat pada 8.30 pagi sebelum memasuki bilik pejabatnya bagi menghadiri upacara ringkas selain sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.

Ini kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan pada tahun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di sini, semalam, selepas Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 10:20 AM