Amir Mamat


Ayer Keroh: Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh antara lapan muka baharu yang dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara akan mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri.

Sulaiman berkata, selain itu, muka baharu yang dilantik adalah Adun Serkam, Datuk Zaidi Attan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar); Adun Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani);

Turut dilantik, Adun Gadek, VP Shanmugam (Exco Belia, Sukan dan NGO); Adun Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan); Adun Merlimau, Dr Akmal Saleh (Exco Kesihatan dan Antidadah);

Adun Paya Rumput, Datuk Rais Yasin (Exco Pendidikan dan Teknologi) dan Adun Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna).

AB Rauf mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri. FOTO arkib NSTP
AB Rauf mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri. FOTO arkib NSTP

Sulaiman berkata, beliau akan mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama, manakala Adun Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan.

Sementara Adun Ayer Molek, Rahmad Mariman pula dilantik sebagai Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.

"Senarai Exco berkenaan dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Simpan Rahsia akan berlangsung petang ini," katanya.

Beliau turut yakin barisan Exco berkenaan mampu menggalas tanggungjawab untuk membangunkan Melaka, sekali gus dapat menggerakkan usaha merealisasikan manifesto serta aku janji Barisan Nasional (BN) yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 12:26 PM