Rosman Shamsudin

Tanjung Malim: "Saya bersyukur, walaupun tidak dapat melihat kejayaan anak saya kerana cacat penglihatan, saya masih berpeluang meraikan kejayaannya," kata Mohd Hanapiah Yeop Shaharudin, 54.

Dia berkata demikian selepas anak keduanya daripada lima beradik, Muhammad Luqman Hakim, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Animasi) dengan Kepujian menerima Anugerah Pelajaran DiRaja.

Anugerah itu diterima sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung di Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.

Mohd Hanapiah berkata, dia menjadi buta selepas menjalani pembedahan akibat ketumbuhan di otak pada 2011 ketika dia berusia 43 tahun.

Katanya, walaupun tidak dapat melihat dengan nyata kejayaan anaknya tetapi dia tetap bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan peluang meraikan kejayaan anaknya itu.

MOHD Hanapiah (dua kiri)  tetap bersyukur dapat meraikam kejayaan selepas anaknya, Muhammad Luqman Hakim menerima Anugerah Pelajaran DiRaja sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO Rosman Shamsudin
MOHD Hanapiah (dua kiri) tetap bersyukur dapat meraikam kejayaan selepas anaknya, Muhammad Luqman Hakim menerima Anugerah Pelajaran DiRaja sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO Rosman Shamsudin

"Sepatutnya kejayaan anak saya hari ini juga turut diraikan oleh arwah isteri saya, Noraini Mohd Aziz yang meninggal dunia pada 2019 yang lalu.

"Saya reda dan berharap kehadiran saya dapat memberi motivasi dan semangat kepada anak saya supaya terus berusaha ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan kehidupan lebih terjamin," katanya .

Sementara itu, Muhammad Luqman Hakim berkata, sejak menjejakkan kaki ke UPSI, dia menanam tekad dan iltizam untuk menggenggam ijazah di samping anugerah berkenaan.

Katanya, dia bersyukur selepas apa yang diimpikan ketika belajar di universiti berkenaan kini menjadi realiti sekal igus membuatkan dia juga bersyukur atas kejayaan terbabit.

Dia yang kini baharu berkerja sebagai artis papan cerita di Les' Copaque berkata, kejayaan itu memberi motivasi kepada dia untuk terus menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana pula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 4:16 PM