ENAM pelajar cemerlang  menunjukkan  anugerah   diterima mereka pada Majlis Konvokesyen Ketujuh UPNM di Dewan Tun Templer, semalam.
ENAM pelajar cemerlang menunjukkan anugerah diterima mereka pada Majlis Konvokesyen Ketujuh UPNM di Dewan Tun Templer, semalam.
Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: “Jadual padat antara pelajaran, latihan ketenteraan serta aktiviti kokurikulum yang menjadi rutin wajib pelajar universiti ini berbanding institusi pengajian tinggi lain tidak sesekali menjadi halangan untuk saya dan beberapa rakan mendapat keputusan cemerlang setiap semester.

“Hanya memberi tumpuan dalam kelas supaya masa terhad dimanfaatkan sebaiknya menjadi kunci kejayaan saya,” kata penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Muda Nur Elliza Ishak, 23, selepas Majlis Konvokesyen Ketujuh UPNM di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi, di sini, semalam.

Dia yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kuasa) dan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 3.88 berkata, disiplin yang tinggi serta tidak mengambil mudah setiap tugas membantunya mencapai kejayaan cemerlang sepanjang menuntut di UPNM.

“Jika pelajar di IPT lain mempunyai masa keluar pada hujung minggu, tidak bagi saya dan rakan di sini.

“Meskipun sibuk dengan aktiviti kokurikulum selain terbabit dengan PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan), saya tidak sesekali mengabaikan pelajaran kerana yang penting pengurusan masa yang betul.

“Mungkin disebabkan kesungguhan serta tidak pernah kenal putus asa menyebabkan saya tidak pernah gagal memperoleh anugerah dekan setiap semester sekali gus menerima Ijazah Kepujian Kelas Pertama.

“Kejayaan ini saya tujukan khas buat ibu dan ayah yang sentiasa menyokong saya selain berterima kasih kepada pensyarah dan rakan yang banyak membantu dalam pelajaran,” kata anak kedua dari lima beradik yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, seorang lagi graduan, Pegawai Kadet Lim Shimri, 24, pula tidak percaya memperoleh Anugerah Pelajaran Diraja kerana kursusnya dinilai mengikut merit.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan itu berkata, dia yang bukan saja sibuk dengan pengajian dan ketenteraan tetapi juga bergiat aktif dengan sukan menganggap perkara itu tidak menjejaskan tumpuannya terhadap pelajaran.

“Saya hanya ada masa luang dua jam sehari untuk menelaah pelajaran, selebihnya masa saya adalah di kelas dan latihan ketenteraan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:17 AM