MOHD Arifin (tengah) menunjukan plakad SOP terkini urusan di bawah kendalian JHEAINS selepas Sabah memasuki Fasa 4 PPN. FOTO Rafiqah Dahali
MOHD Arifin (tengah) menunjukan plakad SOP terkini urusan di bawah kendalian JHEAINS selepas Sabah memasuki Fasa 4 PPN. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memutuskan untuk membenarkan semula operasi kaunter perkhidmatan bagi urusan nikah, cerai dan rujuk (NCR) membabitkan seluruh daerah di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata ia selaras dengan pengumuman kerajaan bahawa Sabah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 November lalu.

Menurutnya, kaunter perkhidmatan NCR mula dibuka serta merta kepada pelanggan setiap hari waktu bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat mengikut masa yang ditetapkan.

"Kaunter dibuka bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang bagi Isnin hingga Khamis manakala pada Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi di mana kehadiran pelanggan tertakluk dengan syarat yang ditetapkan kerajaan iaitu lengkap vaksin Covid-19, memakai pelitup muka dan sentiasa memastikan penjarakan fizikal," katanya dalam sidang akhbar bertempat di Masjid Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JHEAINS, Datuk Saifulzaman @ Setibin Sangul dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JHEAINS merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Sabah, Mohamad Sidik Awang Adi.

Mengulas lanjut, Mohd Arifin turut menjelaskan upacara akad nikah dalam PPN Fasa 4 di Sabah turut dibenarkan untuk dilaksanakan pejabat JHEAINS, masjid, surau dan premis lain seperti di rumah dan hotel.

"Kebenaran ini adalah dengan bersyarat iaitu individu yang hadir telah lengkap divaksin dengan kapasiti 50 peratus dari saiz ruang premis, penjarakan fizikal dan mematuhi protokol kesihatan umum.

"Bagi upacara akad nikah di masjid atau surau, hanya boleh diadakan di bilik atau dewan khas sahaja dan ruang solat adalah tidak dibenarkan selain majlis turut perlu mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan masjid atau surau.

"Pihak JHEAINS juga turut menyediakan perkhidmatan upacara akad nikah di pejabatnya dengan syarat kehadiran adalah terhad kepada lapan orang termasuk pasangan pengantin, wali, dua saksi di kalangan ahli keluarga dan jurunikah serta diadakan pada waktu pejabat saja," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Arifin turut berkata bagi individu atau pasangan yang belum memiliki sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam turut boleh memohon menyertai kursus secara bersemuka di pejabat JHEAINS berhampiran dengan had jumlah peserta tidak lebih 50 peratus dari keluasan ruang kursus.

"JHEAINS juga turut menawarkan temuduga khas pra perkahwinan Islam bagi menggantikan Kursus Pra Perkahwinan secara bersemuka dengan kadar bayaran RM50 bagi setiap seorang peserta," katanya.

Walau bagaimanapun, Mohd Arifin juga memaklumkan bagi individu yang memerlukan khidmat nasihat atau runding cara keluarga dikehendaki membuat janji temu bagi memastikan jadual dapat diselaraskan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 5:12 PM