GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) membenarkan urusan nikah, cerai dan rujuk berjalan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya, Mohd Yusri Md Daud berkata, urusan terbabit masih boleh dilakukan di semua Pejabat Agama Islam Daerah, namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, majlis akad nikah boleh dibuat Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk serta imam di masjid kariah masing-masing atau menggunakan wakalah pengantin lelaki.

"Bagaimanapun, majlis akad nikah perlu dilaksana di masjid kariah pengantin perempuan dalam tempoh 20 minit dan hanya dihadiri enam individu iaitu jurunikah, dua saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan walinya.

"Hanya mas kahwin, borang serta dokumen berkaitan akad nikah sahaja dibenarkan dibawa ke masjid dan pihak masjid harus memastikan semua tetamu bersurai segera sebaik majlis selesai," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk boleh membatalkan majlis akad nikah sekiranya arahan tentang tatacara berkenaan tidak dipatuhi.

"Selain penjarakan fizikal dan tiada berjabat tangan ketika lafaz, turut dilarang upacara lain di kawasan masjid seperti membatalkan air sembahyang, menyarung cincin, bergambar dan lain-lain.

"Sepanjang tempoh PKPB ini juga, JHEAIK menangguhkan pelaksanaan kursus pra perkahwinan dan digantikan dengan temuduga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 1:40 PM