GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat


Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menetapkan semua urusan nikah, cerai dan rujuk (NCR) serta hal ehwal kekeluargaan Islam di negeri itu akan dibenar dilaksanakan bermula 1 Julai ini.

Pengarahnya Datuk Che Sukri Che Mat berkata, bagaimanapun, semua urusan terbabit dibenarkan melalui janji temu di kaunter Bahagian Pembangunan Keluarga (BPK) JAIM dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Beliau berkata, kaunter janji temu itu akan dibuka bermula jam 8.30 pagi sehingga 12 tengah hari setiap Isnin, Selasa dan Rabu, kecuali pada hari kelepasan am.

"Antara perkhidmatan yang dibuka kepada orang awam melalui janji temu itu ialah pelaksanaan majlis akad nikah, permohonan baharu kebenaran berkahwin, permohonan lanjutan kebenaran berkahwin dan permohonan baharu pendaftaran nikah, cerai dan rujuk.

"Selain itu, urusan lain yang akan dibuka ialah temu duga perkahwinan bagi pasangan bujang berumur 35 tahun dan berstatus duda, janda, balu atau poligami; pengesahan wakalah wali, pembetulan kesilapan pada sijil NCR, khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan serta kursus pra perkahwinan dalam talian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, majlis akad nikah hanya dibenarkan bagi pasangan yang sudah mendapat kebenaran berkahwin daripada PAID dan majlis terbabit hanya boleh diadakan di PAID atau mana-mana lokasi yang dibenarkan JAIM.

Katanya, keutamaan majlis akad nikah hanya akan diberikan kepada pemohon yang sudah mengemuka tarikh cadangan majlis akad nikah pada 1 hingga 31 Julai.

"Bagi memastikan urusan akad nikah berjalan lancar, majlis hanya akan diadakan dalam tempoh 15 minit termasuk khutbah nikah dan lafaz taklik dengan kehadiran tidak lebih enam orang.

"Pengantin dan keluarga pengantin dari negeri berbeza hendaklah mendapat kebenaran pihak polis untuk hadir ke majlis akad nikah yang ditetapkan, manakala bakal pengantin termasuk wali dan wakil keluarga yang hadir juga wajib menjalani ujian calitan Covid-19 dalam tempoh tiga hari sebelum majlis berlangsung," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:12 PM