FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Johor membenarkan solat Jumaat dan solat jemaah fardu lima waktu dengan jumlah 40 jemaah ahli kariah yang digilirkan di masjid dan surau di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, jumlah itu tidak termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid serta surau dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, namun bagi memastikan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat, diperkenankan kebenaran sementara menunaikannya di 216 surau di seluruh Johor.

"Perhimpunan bertujuan aktiviti agama yang dibenarkan meliputi tazkir dan tarhim oleh pegawai masjid dan surau; program membudayakan al-Quran dan as-Sunnah; program bacaan surah Yassin dan tahlil serta surah al-Mulk dan al-Kahfi.

"Solat jenazah dibenarkan dengan kehadiran 40 jemaah tidak termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid serta surau.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi (tengah) pada sidang media mengenai kebenaran operasi masjid dan surau serta pengurusan nikah, cerai dan ruju' dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi (tengah) pada sidang media mengenai kebenaran operasi masjid dan surau serta pengurusan nikah, cerai dan ruju' dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI

"Semua masjid dan surau hendaklah melaksanakan solat sunat hajat berjemaah setiap hari selepas solat fardu maghrib dan selepas solat Jumaat, bagaimanapun, aktiviti kuliah serta ceramah secara atas talian digalakkan, selain memastikan penceramah jemputan mempunyai tauliah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ)," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, majlis akad nikah digalakkan untuk ditangguhkan atau boleh dilaksanakan di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) atau pejabat kadi daerah sahaja.

Katanya, kehadiran bagi satu majlis akad nikah yang dilaksanakan tidak melebihi enam orang iaitu pengantin lelaki perempuan, wali, dua saksi terdiri daripada anggota jabatan dan majlis sahaja, selain jurunikah terdiri daripada kadi atau imam daerah atau penolong pendaftar nikah, cerai dan rujuk.

"Majlis resepsi atau walimatul urus untuk majlis akad nikah hendaklah ditangguhkan.

"Kursus pra perkahwinan Islam Johor boleh dilaksanakan secara kursus melalui kaedah sidang video sahaja, permohonan kebenaran nikah adalah dibenarkan, selain pendaftaran cerai boleh dilaksanakan sekiranya mendapat perintah pengesahan cerai dari Mahkamah Syariah.

"Lain-lain urusan meliputi pendaftaran rujuk boleh dilaksanakan, permohonan pendaftaran pengesahan pernikahan (4P) dan poligami (5P) boleh dilaksanakan serta permohonan kad perakuan nikah boleh dilaksanakan dengan terhad kepada seorang pemohon," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 4:42 PM