TANGKAP layar video kemalangan yang tular di media sosial. FOTO Tular
TANGKAP layar video kemalangan yang tular di media sosial. FOTO Tular
Raja Noraina Raja Rahim

Sungai Buloh: Bukan mabuk ketika memandu lori sebaliknya terkena serangan jantung dan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan.

Itu penjelasan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berhubung video kemalangan yang tular di media sosial membabitkan sebuah lori merempuh tiga kenderaan, semalam.

Menurutnya, video tular mendakwa pemandu lori mabuk dan melanggar tiga kenderaan lain tidak benar, sebaliknya lelaki itu mengalami serangan jantung.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku berdekatan sebuah kilang di Jalan BRP 8/2, Sungai Buloh, semalam.

"Lelaki itu dipercayai sakit dada sehingga menyebabkan lori dipandu hilang kawalan lalu merempuh kenderaan lain di bahu jalan.

"Pada 12.09 tengah hari sama, lelaki itu meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat myocardial infarction (serangan jantung)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 7:37 PM