Mohamad Mat  maut  selepas terjatuh ke dalam longkang ketika   berniaga di Pasar Awam Sama Gagah,  semalam.
Mohamad Mat maut selepas terjatuh ke dalam longkang ketika berniaga di Pasar Awam Sama Gagah, semalam.

Permatang Pauh: Seorang peniaga buah-buahan maut selepas terjatuh ke dalam longkang ketika berniaga di Pasar Awam Sama Gagah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, mangsa Mohamad Mat Daud, 70, berasal dari Pematang Tinggi B, Kepala Batas meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakannya Rosli Md Noor, 48, berkata, dia bersama mangsa tiba di pasar berkenaan jam 7 pagi untuk berniaga sebelum mangsa mengadu sakit dada dan pening kepala selain meminta kerusi untuk duduk.

“Saya memberi kerusi kepadanya sebelum dia duduk dan berehat. Bagaimanapun, tiba-tiba mangsa rebah dan terjatuh ke dalam longkang berhampiran. Saya segera mengangkatnya dan melihat dahinya berdarah akibat terhantuk pada simen,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Abdul Hamid berkata, mangsa difahamkan menghidap penyakit jantung dan kencing manis ke pasar awam berkenaan bersama rakannya untuk berniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 8:38 AM