ISMAIL Sabri  menyampaikan ucapan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri menyampaikan ucapan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021. FOTO Bernama
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Fokus utama membendung penularan pandemik Covid-19 mula membuahkan hasil berkat kerjasama semua pihak dan pelaksanaan strategi yang berkesan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah 'game changer' yang menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan merentas negeri yang dinantikan oleh rakyat.

"Keberhasilan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sehingga kini telah berjaya memberi vaksin kepada lebih 95.5 peratus populasi dewasa dan 66.4 peratus populasi remaja setakat 2 November lalu," katanya ketika berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, bilangan kes jangkitan harian Covid-19 juga berjaya diturunkan dan memberi kelegaan kepada rakyat serta petugas barisan hadapan.

"Secara umumnya dari segi psikologi, rakyat kini berasa lebih positif kerana sudah dapat memulakan semula kehidupan seharian.

"Bagaimanapun, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa pandemik dan bersiap sedia memperkenalkan langkah tertentu demi memelihara nyawa rakyat serta ekonomi negara.

"Pada kesempatan ini, patik mengambil peluang untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan serta sokongan dan dokongan semua lapisan masyarakat dalam membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19," katanya.

Ismail turut menzahirkan rasa simpati kerajaan dan ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat pandemik Covid-19 yang diakui amat menyedihkan.

Ismail berkata, kerajaan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.

"Bagi tujuan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kerajaan sudah menubuhkan Yayasan Keluarga Malaysia.

"Tujuan penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia adalah untuk membantu dan menyantuni anak-anak yang terkesan dengan pandemik Covid-19 , anak yatim serta serta yatim piatu yang lain.

"Kerajaan juga mengorak langkah untuk mengeluarkan produk vaksin Malaysia yang berkualiti, berkesan dan selamat melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 12:41 PM