FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kadar kebolehjangkitan (R-naught) Covid-19 di seluruh negara terus merekodkan trend penurunan, yang mana nilai yang dicatatkan semalam adalah 0.88.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemasukan pesakit Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan trend penurunan.

"Berdasarkan R-naught yang masih kekal di bawah nilai 1.0, kerajaan yakin unjuran harian kes baharu jangkitan Covid-19 akan terus mencatatkan trend penurunan dengan kerjasama Keluarga Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun jumlah kes jangkitan harian menunjukkan ketidaktentuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semalam, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merekodkan kadar 85.1 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Pada masa sama, katanya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) mendapat sambutan menggalakkan, apabila sebanyak 1,217,386 dos vaksin sudah diberikan kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun.

"Perkembangan ini selari dengan matlamat kerajaan yang mahu seramai mungkin pelajar menerima vaksinasi lengkap menjelang pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula Oktober depan.

"Seperti yang saya umumkan pada 22 September lalu, kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai

90 peratus.

"Kerajaan juga akan mempertimbangkan lebih banyak sektor ekonomi untuk kembali beroperasi seperti biasa bagi membolehkan rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah ia ditutup sejak sekian lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:56 PM