TAN Sri Mohd Zuki Ali
TAN Sri Mohd Zuki Ali
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Perkhidmatan Awam negara terus komited dan responsif terhadap keperluan semasa berpandukan data serta maklumat tepat dan terkini dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar, tindakan dan operasi yang diputuskan Kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pada masa sama, kerjasama kukuh dan kesefahaman jitu antara agensi kerajaan dan swasta menjadi kunci utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif terutamanya melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk semua keluar dari kemelut pandemik ini.

"Kita mungkin belum berjaya, namun anggota Perkhidmatan Awam sentiasa teguh dalam menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan demi negara yang tercinta.

"Sokongan dan dokongan semua pihak akan menjadi peniup semangat untuk kita meneruskan perjuangan yang masih belum selesai ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zuki berkata, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia mengakibatkan perubahan ketara dalam kehidupan manusia sejagat, malah selepas 18 bulan negara masih berdepan dengannya.

Beliau berkata, ia berikutan, peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan itu amat mencabar, meletihkan dan memerlukan kekuatan serta ketahanan yang ampuh selain seperti satu perlumbaan maraton yang panjang dan penuh getir ke garisan penamat.

"Dalam mendepani krisis ini, Kerajaan melaksanakan pelbagai strategi, inisiatif dan pelan tindakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 untuk mengimbangi kehidupan dan kelangsungan hidup.

"Belum pernah dalam lipatan sejarah negara kita menempuh satu kehidupan penuh liku akibat pandemik Covid-19 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Pun begitu, Mohd Zuki berkata, pelaksanaan lapan pakej rangsangan ekonomi serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara besar-besaran kepada rakyat Malaysia dapat menangani impak PKP terhadap kepada kelangsungan masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin); Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana); Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai); Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dalam usaha meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Ia melalui pelbagai saluran bantuan untuk menyokong kelangsungan ekonomi akibat menguatkuasaan PKP termasuk buat pertama kali dalam sejarah, peruntukan kerajaan lebih RM500 bilion bagi kesemua pakej yang dinyatakan demi memastikan kejayaan pelaksanaan program itu.

"Pada masa sama, PICK juga sedang giat dilaksanakan mengikut perancangan sejajar dengan bekalan vaksin yang diperoleh. Seterusnya, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5 bilion untuk perolehan dan penyediaan vaksin secara percuma kepada rakyat Malaysia.

"Sehingga kini lebih 11 juta penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin. Selain itu, Kerajaan juga terus mempertingkatkan keupayaan pemberian vaksin kepada rakyat dengan menyediakan lebih 1,800 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara dan pemberian dos melebihi 400,000 sehari," katanya.

Mohd Zuki berkata, kerajaan menjangkakan jumlah pemberian dos vaksin akan terus bertambah dengan ketibaan lebih banyak bekalan vaksin dan pertambahan PPV dalam masa terdekat untuk mencapai imuniti kelompok, seterusnya membolehkan sasaran 80 peratus populasi negara divaksinasi dapat dicapai dalam masa terdekat.

"Pemberian vaksin secara agresif ini pastinya dapat mengawal penularan wabak dalam komuniti kita sekali gus memberi harapan untuk kita semua menikmati kehidupan seperti sedia kala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 4:48 PM