MOHD Fauzi melancarkan pertandingan kebun komuniti MPAJ. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
MOHD Fauzi melancarkan pertandingan kebun komuniti MPAJ. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Sebanyak 54 kebun komuniti di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyertai pertandingan kebun komuniti bagi rebut hadiah keseluruhan bernilai RM28,000.

Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pertandingan diadakan sebagai bentuk dorongan dan sokongan kepada pengusaha kebun komuniti dalam menuju ke arah bandar hijau rendah karbon.

"Untuk makluman, terdapat 54 kebun komuniti dan kebun sekolah yang berdaftar di bawah program komuniti MPAJ.

"Pertandingan ini adalah kali kedua dianjurkan dan hadiah kemenangan diberikan hasil dari caj beg plastik," katanya ketika ditemui selepas melancarkan pertandingan kebun komuniti di Pangsapuri Cemara, di sini, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, sehingga Oktober ini pihaknya berjaya mengumpul RM400,000 hasil daripada caj penggunaan beg plastik di kawasan pentadbiran MPAJ.

"Hasil daripada caj ini akan disalurkan kepada program-program alam sekitar dan aktiviti kemasyarakatan.

"Sebab itu saya sentiasa menggalakkan ahli-ahli majlis supaya meneruskan kempen alam sekitar di kawasan mereka,"katanya.

Mengula berhubung kebun komuniti, beliau berkata, pelaksanaan kebun komuniti pada peringkat awal adalah untuk mengindahkan kawasan tanah terbiar dan sebagai bekalan makanan kepda warga kebun.

"Bagaimanapun terdapat kebun komuniti yang mengorak langkah dengan mengambil inisiatif menghasilkan produk tersendiri.

"Kebun komuniti juga adalah salah satu daripda perancangan kejiranan hijau yang digariskan dalam garis panduan kejiranan hijau oleh Plan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 1:56 PM