GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain

Ampang: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan sebanyak 17 kompaun kerana kesalahan membuang sampah secara haram di kawasan pentadbirannya mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) setakat 16 Mac lalu.

Pada sama sama, MPAJ turut memaklumkan sebanyak 11 notis peringatan dikeluarkan ke atas Orang Kena Saman (OKS) yang gagal menjelaskan bayaran kompaun dalam tempoh yang ditetapkan.

"Sekiranya OKS masih tidak menjelaskan bayaran kompaun selepas notis peringatan dikeluarkan, pihak MPAJ akan menyediakan kertas siasatan bagi tindakan pendakwaan di mahkamah.

"Berdasarkan rekod, sebanyak dua kes bakal dibawa ke mahkamah bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam pada 2021," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan sama, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPAJ membuat semakan ke atas aduan mengenai sampah plastik pelembut pakaian yang bertaburan di tepi Jalan Mawar 4, Taman Muda, di sini.

"Hasil semakan mendapati plastik pelembut pakaian yang dilupuskan di lokasi adalah tindakan pemilik/pekerja sebuah premis dobi berhampiran.

"Susulan itu, satu kompaun di bawah UUK 4, UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPAJ 2007 dikeluarkan ke atas pemilik premis dobi terbabit," katanya.

MPAJ turut memberikan penerangan berkaitan tatacara pembuangan sampah yang betul kepada pemilik dan pekerja kedai dobi berkenaan di lokasi.

"MPAJ terus bertindak proaktif dalam membanteras isu sampah longgok dan sampah haram di kawasan tadbiran MPAJ.

"Orang ramai diminta menyalurkan sebarang aduan mengenai kebersihan di kawasan MPAJ melalui https://mpaj.spab.gov.my/Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 12:20 PM