MOHAMMAD Shatar. FOTO Arkib NSTP
MOHAMMAD Shatar. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Cyberjaya: Tujuh strategi sejahtera institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi Amanat Tahun 2022 dilihat mampu meningkatkan imej pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, strategi dibentang Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam Amanat Tahun 2022 itu diyakini boleh menarik minat pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di Malaysia.

Menurutnya, strategi itu juga bakal membantu negara muncul sebagai hab pendidikan global.

"Kini, kriteria utama pelajar generasi Z dalam memilih IPT untuk menyambung pengajian ialah kebolehpasaran graduan sesebuah universiti dan perkara itu giat diperkasakan dalam kalangan IPT tempatan dan luar negara.

"Penawaran pengajian secara digital juga menjadi elemen penting terutama menerusi mod pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) yang memberikan pilihan kepada pelajar untuk belajar dari negara asal mereka tanpa perlu ke Malaysia secara fizikal," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau juga mengulas mengenai Amanat Tahun 2022 Menteri Pengajian Tinggi dengan tema 'Memperhebat Strategi, Melonjak Kecemerlangan' yang dibentangkan baru-baru ini.

Perkara yang terkandung dalam strategi itu ialah mengukuhkan ekosistem kampus yang selamat, kebolehpasaran graduan, memperkasakan agenda pendigitalan, memantapkan jaringan kolaborasi strategik, memacu kesejahteraan komuniti, mempersada kecemerlangan institusi dan menyemarak semangat #KPTPrihatin.

Mohammad Shatar berkata, keselamatan kampus juga menjadi perkara yang diberi penekanan dalam amanat menteri kerana ia menjadi keutamaan masyarakat kampus di peringkat global.

"Diharap dengan semua perkara yang ditekankan dalam strategi sejahtera IPT akan melonjakkan imej pengajian tinggi di mata dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 3:52 PM