Prof Datuk Dr Mohammad Shatar.
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia muncul sebagai negara pertama di dunia menawarkan Standard Program untuk pengajian halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pengajian halal mempunyai permintaan tinggi bukan hanya di negara bukan Islam seperti China dan India, malah di Asia Barat.

Katanya, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu merebut peluang berkenaan yang menawarkan program berkaitan dengan pengajian halal.

"Menerusi penawaran itu dijangkakan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke negara ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

"Kita perlu pantas dalam hal ini sebelum negara lain membuat deklarasi mereka adalah peneraju atau juara dalam pengajian halal ini," katanya.

Mohammad Shatar berkata, standard itu menggariskan standard minimum pelbagai keperluan khusus bagi program berkaitan halal sebagai rujukan kepada IPT dalam penawaran dan jaminan kualiti program pengajian di Malaysia.

Katanya, dokumen itu turut digunakan pegawai dan Ahli Panel Penilai MQA dalam penilaian akreditasi program berkaitan halal.

"Pengamalan proses jaminan kualiti yang tepat, teratur, konsisten dan berpandukan standard program dapat menghasilkan graduan program berkaitan halal yang berkualiti.

"Bagaimanapun IPT yang menawarkan program berkaitan halal tetap tertakluk kepada penggunaan standard program ini dalam penyediaan dokumen permohonan Akreditasi Sementara dan Akreditasi Penuh," katanya.

Setakat Disember tahun lalu, terdapat 21 IPT menawarkan 53 program berkaitan halal yang mendapat akreditasi daripada MQA di peringkat diploma hingga doktor falsafah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 11:43 AM