MOHAMMAD Shatar (tengah), Fadzli (tiga dari kiri) dan Muhammad Hasfarizal (kiri) bertemu dengan wakil Virtual Internships di pejabat Education Malaysia London. FOTO ihsan MQA
MOHAMMAD Shatar (tengah), Fadzli (tiga dari kiri) dan Muhammad Hasfarizal (kiri) bertemu dengan wakil Virtual Internships di pejabat Education Malaysia London. FOTO ihsan MQA
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Syarikat yang berpangkalan di London, Virtual Internships menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar B40 di persada antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, hasil perbincangan pihaknya dengan Virtual Internships, syarikat itu cenderung menawarkan program atau latihan industri.

Beliau berkata, program yang mengambil masa antara sebulan hingga empat bulan itu membabitkan latihan pelajar B40 bagi meningkatkan kemahiran mereka.

"Virtual Internships akan memadankan minat dan bidang pembelajaran pelajar dengan syarikat, organisasi atau agensi di peringkat antarabangsa.

"Syarikat ini mempunyai ratusan jaringan agensi di seluruh dunia yang boleh menerima seterusnya melatih pelajar B40 meningkatkan kebolehpasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia selepas pertemuan beliau dengan Pengasas Virtual Internships, Ed Holroyd Pearce di pejabat Education Malaysia London, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Dr Fadzli Adam dan Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa (MQA International), Muhammad Hasfarizal Kamaludin.

Pertemuan itu ialah sebahagian aktiviti strategik delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ketika lawatan ke United Kingdom.

Delegasi itu diketuai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. Turut serta, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar.

Mohammad Shatar berkata, dalam tempoh latihan dengan Virtual Internships, terdapat program mentor mentee yang akan mengawal selia pelajar.

Katanya, pelajar juga perlu menjalankan projek berdasarkan perbincangan dengan mentor daripada industri dan selepas tamat latihan, mereka diberikan sijil dikeluarkan Virtual Internships.

"Diharap dengan adanya latihan atau pendedahan ini, pelajar B40 akan mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka di persada nasional dan antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 6:27 PM