MOHAMMAD Shatar Sabran. FOTO ihsan MQA
MOHAMMAD Shatar Sabran. FOTO ihsan MQA
Amir Abd Hamid


Cyberjaya: Mungkinkah nanti waris Pele atau Maradona memilih melanjutkan pengajian universiti di Malaysia?

Perkara itu tidak mustahil berlaku kerana menyedari potensi besar pasaran pendidikan tinggi di Amerika Selatan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) merangka untuk meneroka peluang di benua terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya sudah mengadakan komunikasi awal dengan delegasi National Committee for University Assessment and Accreditation of the Argentine Republic (CONEAU) bagi memperincikan kerjasama berkenaan.

Beliau berkata, perancangan itu dijalankan di bawah inisiatif MQA Global bagi memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama pendidikan antara Malaysia dengan badan akreditasi di seluruh dunia.

Katanya, ia juga bagi menembusi pasaran baharu membabitkan negara Amerika Selatan seperti Argentina, Brazil, Ekuador, Chile dan Uruguay yang diyakini mempunyai potensi sangat besar untuk menghantar penuntut ke Malaysia kerana CONEAU adalah satu daripada badan jaminan kualiti di Amerika Latin yang memproses akreditasi program pendidikan tinggi.

"Kami mahu bekerjasama dengan memeterai memorandum persefahaman pada masa akan datang, selain mengadakan lawatan yang dirancang dengan hasrat menjemput beberapa universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mempromosikan institusi serta program pengajian masing-masing.

"Kedudukan IPT Malaysia yang baik dalam penarafan universiti dunia, kemudahan di universiti yang disokong oleh kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menjadi daya penarik buat pelajar di samping kos pengajian serta sara hidup yang berpatutan di Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, selaku agensi yang dipertanggungjawabkan menyelia jaminan kualiti pendidikan tinggi Malaysia, MQA bersungguh-sungguh untuk terus melonjakkan imej pendidikan tinggi negara, malah akan bergerak lebih agresif tahun ini.

Beliau berkata, menerusi inisiatif MQA Global, pihaknya mengadakan banyak kerjasama dan memorandum persefahaman dengan agensi akreditasi luar negara bagi melonjakkan nama Malaysia dalam arena pendidikan tinggi.

"Semua usaha yang dijalankan bagi memastikan Malaysia kekal berada pada landasan yang betul untuk menjadi hab pendidikan tinggi global dan berjaya membawa 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025 selari dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

"Jaringan dan kerjasama dengan badan akreditasi luar negara akan memudahkan pelajar Malaysia serta negara yang berkenaan bagi menyambung pengajian, menjalankan program mobiliti, pemindahan kredit, malah untuk tujuan bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 5:59 PM