Baling: “Selesai menonton perlawanan Piala Malaysia antara Pahang dan Johor DT di televisyen, saya terkejut melihat air mula masuk ke dalam rumah lalu mengejutkan isteri dan dua anak segera mengangkat barang ke tempat selamat,” kata Idris Che Me, 61, antara mangsa banjir di di Kampung Haji Abas, dekat sini, semalam.

Sebanyak 50 rumah di 13 kampung dalam daerah berkenaan dinaiki air setinggi 0.5 hingga satu meter kira-kira jam 1 pagi, semalam, berikutan hujan lebat berterusan.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Kuala Kuda, Bukit Sebelah, Siput (Mukim Siong), Kampung Banggol Derum, Dusun Raja, Lahar, Nering, Pantai Teh, Haji Abas (Mukim Bongor), Kampung Sungai Batu, Seberang Pekan, Bawah Gunung (Mukim Baling) serta Kampung Lubuk Pedati dan Tanjung Merbau di Mukim Pulai.

Idris berkata, dia bersama isteri Tengku Faridah Tengku Md Akib, 60, dan dua anak Mohd Faizal, 34, dan Nor Syakinah, 21, sempat menyelamatkan barangan penting termasuk peralatan elektrik walalupun air naik dengan cepat.

“Walaupun sudah lama tidak berlaku banjir di kawasan ini tetapi jika hujan lebat berterusan empat jam di Mukim Siong, paras air Sungai Ketil akan melimpah membanjiri rumah kerana terletak berhampiran tebing sungai.

“Hujan lebat menjadi punca air Sungai Ketil melimpah tetapi kami bernasib baik kerana tiada kejadian buruk berlaku, namun letih terpaksa mencuci rumah setiap kali selepas banjir,” katanya.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling Nazatul Iffah Abdullah berkata, hujan lebat berpanjangan menyebabkan banjir kilat membabitkan 50 buah rumah penduduk, terutama yang terletak di tebing sungai.

““Kami akan memberi bantuan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan makanan keperluan lain mencukupi dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:15 AM