ANTARA pekerja warga asing yang ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu di sebuah tapak pembinaan di Setapak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan JIM
ANTARA pekerja warga asing yang ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu di sebuah tapak pembinaan di Setapak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 213 warga asing ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu di sebuah tapak pembinaan di Setapak, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan, malam tadi, memaklumkan operasi itu dijalankan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

"Dalam serbuan itu, seramai 254 pekerja asing diperiksa. Daripada jumlah itu, seramai 213 pekerja binaan warga asing terdiri daripada 210 lelaki dan tiga wanita ditahan selepas didapati terbabit dalam pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Semua warga asing yang ditahan terdiri daripada 172 warga Bangladesh, diikuti Indonesia (20 orang), Pakistan (10 orang), Vietnam (enam orang), India (tiga orang) dan Myanmar (dua orang)," katanya.

Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semua pekerja warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya untuk proses dokumentasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 8:53 AM