ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan Op Sapu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, kelmarin. FOTO Ihsan JIM.
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan Op Sapu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, kelmarin. FOTO Ihsan JIM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam serbuan Op Sapu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, Selangor, kelmarin.

Serbuan jam 4.45 pagi itu membabitkan 96 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Anti-Pemerdagangan Manusia serta Pasukan Khas Taktikal Khas (PASTAK) Ibu Pejabat JIM Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 95 warga asing diperiksa dalam operasi itu.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan seramai 35 Pati terdiri daripada 17 lelaki warga Myanmar, 13 lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India, dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Yemen atas pelbagai kesalahan.

"Semua Pati yang berusia antara 21 hingga 52 tahun itu dipercayai bekerja di pasar borong berkenaan sebagai pekerja am," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, pasukan operasi berdepan dengan Pati yang cuba melarikan diri dari kepungan ketika serbuan dilakukan.

"Ketika serbuan, cuaca hujan dan keadaan gelap menyebabkan ada Pati yang berjaya meloloskan diri.

"Antara individu yang diperiksa adalah 42 lelaki dan 3 wanita warga Myanmar yang juga memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR)," katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil selepas menerima aduan awam berhubung PATI yang bekerja di Pasar Borong tersebut tanpa pas dan dokumen pengenalan diri sah.

"Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semua Pati yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 11:21 AM