GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Hussin


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan ke atas dua penuntut universiti awam (UA) berhubung isu tajuk debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak, yang tular di media sosial, semalam.

Pertandingan yang diadakan di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan mendapat kecaman pelbagai pihak selepas tajuk debat cuba memesongkan akidah umat Islam.

Menurut KPM, hasil siasatan mendapati Ketua Juri selaku panel pemilih usul tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal daripada pihak SDAR berkaitan dengan usul tajuk debat.

“SDAR turut memaklumkan bahawa panduan prosedur operasi standard (SOP) perdebatan telah diperjelaskan kepada Ketua Juri supaya pemilihan tajuk debat tidak menyentuh sebarang sensitiviti agama, kaum, kebudayaan dan isu yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Justeru, KPM melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan terhadap kedua-dua penuntut berkenaan.

“KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan secara sengaja atau tidak dalam menganjurkan program yang boleh mengganggu keamanan antara kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak Kali Ke-8 di SDAR, Seremban, pada 11 dan 13 Oktober lalu meminta pelajar berhujah mengenai kecacatan dan kekurangan al-Quran serta memaksa mereka menulis semula al-Quran dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal.

Selain itu, pendebat turut dipaksa berhujah bahawa homoseksual bukan satu dosa dalam Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:22 PM