Amniera Naziera Amran


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan gejala rasuah dalam kalangan mahasiswa berada di tahap membimbangkan susulan kajian yang dilakukan agensi berkenaan tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, hasil kajian dijalankan terhadap 1,000 penuntut universiti mendapati 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah manakala 18.5 peratus pula sanggup memberi rasuah.

Katanya, SPRM sedang melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha menyekat gejala rasuah daripada terus menular di peringkat akar umbi membabitkan mahasiswa.

"SPRM mengambil langkah awal termasuk menerusi penganjuran program dan kempen yang dijalankan di institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

"Kita lihat perkara ini membimbangkan, kerana itu kita fokus program seperti ini kepada mahasiswa, pada tahun hadapan kita akan membuat program bersama pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah sebab kita mahu perkara ini sebati daripada peringkat awal," katanya selepas merasmikan Program Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) 2.0 Borneo di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Dzulkifli berkata, pihaknya akan meneruskan kaji selidik rasuah terhadap golongan mahasiswa di beberapa IPT terpilih seluruh negara dan keputusannya akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 6:14 PM