ZURAIDA ketika lawatan ke pusat pemprosesan biji kenaf. FOTO Bernama
ZURAIDA ketika lawatan ke pusat pemprosesan biji kenaf. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Jitra: Keputusan kerajaan membawa 32,000 warga asing bekerja di sektor perladangan dibuat selepas mendapati rakyat tempatan tidak mampu mengisi kekosongan sektor itu, walaupun ditawar gaji lumayan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata, syarikat perladangan menawarkan pendapatan lumayan bagi pekerja penuai dengan gaji bulanan lebih RM2,000 merangkumi elaun dan bayaran kerja lebih masa.

Bagaimanapun katanya, syarikat perladangan terutamanya ladang sawit masih mengalami kekurangan pekerja khususnya bagi melakukan kerja menuai berikutan rakyat tempatan menganggap bekerja di sektor perladangan adalah berat dan susah.

"Kita kekurangan pekerja penuai, pekerja tempatan boleh buat kerja menuai juga jika mereka mahu, tetapi mereka kata berat dan susah. Gaji kerja ladang lumayan sebenarnya, syarikat bayar gaji pokok RM1,200 tambah insentif dan kerja lebih masa boleh dapat lebih RM2,000 sebulan.

"Jika kita tidak bergantung pada pekerja asing, kos untuk bawa warga asing ini boleh diguna untuk bayar gaji pekerja tempatan. Tetapi pekerja tempatan tak sedia, mereka tak mahu kerja ladang," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemprosesan Biji Kenaf di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mendapat kelulusan membawa 32,000 pekerja asing bagi dihantar ke ladang sawit seluruh negara bagi melakukan kerja menuai berikutan masalah kekurangan pekerja tempatan.

Mengulas mengenai kemasukan pekerja asing berkenaan, Zuraida berkana mereka dijangka tiba selewat-lewatnya awal bulan hadapan dan akan terus dibawa ke ladang yang memerlukan kerja penuai.

"Kementerian Sumber Manusia luluskan 32,000 pekerja asing untuk diagihkan kepada ladang besar untuk tuai sawit. Memandangkan harga sawit tinggi ketika ini, kita kena cepat untuk elak buah terbiar dan reput menyebabkan kita rugi.

"Perlunya mereka kerana hasil jualan minyak sawit dijangka akan naik kira-kira 40 peratus dan ia mampu memberi pulangan kira-kira RM20 bilion kepada negara sebelum hujung tahun ini," katanya.

Zuraida berkata, kesan kenaikan harga minyak sawit yang kini mencecah lebih RM5,000 setan juga memberi faedah kepada pekebun kecil apabila mereka turut menikmati peningkatan pendapatan.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, nilai eksport pelbagai komiditi negara sudah mencecah RM137.4 bilion dan jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan permintaan pasaran yang masih tinggi ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 6:27 PM