Muhamaad Razis Ismail

SEKTOR perladangan negara masih menggunakan tenaga kerja manusia yang tinggi daripada pengurusan anak pokok di nurseri, penanaman di ladang, penuaian sehinggalah pemprosesan di kilang.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Daljit Singh Karam Singh berkata, walaupun banyak industri berkaitan perladangan sudah menggunakan pelbagai teknologi terkini dalam operasi ladang, tenaga kerja manusia masih diperlukan.

"Topografi muka bumi yang berbukit-bukau seperti di kebanyakkan ladang kelapa sawit menyukarkan pengoperasian jentera.

"Oleh itu, ia memerlukan tenaga kerja manusia dalam mengendalikan penanaman, penuaian dan sebagainya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata, peningkatan pekerja asing dalam sektor perladangan terutama kelapa sawit berlaku berikutan permintaan yang tinggi untuk minyak kelapa sawit mentah negara.

"Selain itu, pengambilan pekerja asing dalam sektor perladangan juga disebabkan tawaran gaji yang bersesuaian," katanya.

Mengulas lanjut, kebanyakan pekerja asing bekerja di sektor perladangan kerana bayaran gaji yang agak lumayan di samping nilai mata wang yang lebih tinggi.

MINYAK kelapa sawit mendapat permintaan tinggi.
MINYAK kelapa sawit mendapat permintaan tinggi.

"Kebanyakan warga asing ini akan mengirimkan sebahagian daripada gaji bulanan kepada keluarga mereka.

"Selain itu, keadaan politik dan ekonomi negara mereka yang tidak stabil juga menjadi faktor, kebanjiran pekerja asing di negara kita," katanya.

Beliau mengakui kekurangan warga tempatan yang di sektor ini menyebabkan banyak syarikat terpaksa mengambil pekerja asing.

"Sektor perladangan ini boleh dikelaskan sebagai 3D iaitu, 'Demanding, Dirty and Dangerous.' Saya menggunakan 'Demanding' kerana sememangnya pengurusan operasi ladang mengambil masa dan tenaga yang banyak.

"Kadar bayaran gaji yang rendah dalam kalangan pekerja ladang di lapangan menjadi faktor yang menyebabkan ramai warga tempatan kurang berminat.

"Isu kekeluargaan juga menjadi antara faktor yang menyebabkan ramai pekerja di ladang bertukar profesion untuk lebih dekat dengan keluarga mereka di bandar kerana kebanyakan ladang berada jauh dari bandar," katanya.

TEKNOLOGI terkini dalam operasi ladang tidak dapat menggantikan sepenuhnya tenaga kerja manusia.
TEKNOLOGI terkini dalam operasi ladang tidak dapat menggantikan sepenuhnya tenaga kerja manusia.

Jelasnya, berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang diperoleh daripada data.gov.my, jumlah pekerja asing yang berada dalam sektor perladangan adalah sebanyak 230,407 lelaki dan 34,620 perempuan setakat Februari 2018.

"Saya pasti jumlah ini berkurangan secara drastik disebabkan pandemik Covid-19. Ramai pengurus ladang yang berasa tekanan akibat kekurangan pekerja tatkala permintaan terhadap minyak kelapa sawit mentah melonjak tinggi.

"Walaupun sektor perladangan ini adalah salah satu cabang dalam pertanian, tetapi lebih banyak pekerja asing dalam sektor perladangan jika dibandingkan dengan sektor pertanian secara keseluruhan," katanya.

Beliau menyambut baik langkah kerajaan untuk membawa masuk 32,000 pekerja tempatan dan warga asing kerana keadaan amat kritikal di sektor perladangan akibat kekurangan pekerja.

"Hal ini kerana negara kita bukan sahaja dalam fasa pemulihan kesan daripada pandemik Covid-19, tapi juga sedang memasuki fasa pemulihan ekonomi akibat pandemik ini.

"Pada ketika kekangan pergerakan dan ramai pekerja asing yang pulang ke negara asal, harga minyak mentah kelapa sawit mencecah RM5,000 setan.

TENAGA kerja manusia masih diperlukan di sektor perladangan.
TENAGA kerja manusia masih diperlukan di sektor perladangan.

"Tidak dapat dinafikan sektor perladangan kelapa sawit inilah yang menjadi salah satu punca utama pendapatan negara kita.

"Permintaan minyak kelapa sawit mentah kita yang tinggi daripada negara yang besar serta mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti China dan India, memberi kelebihan kepada negara pengeluar seperti Malaysia daripada segi rangsangan ekonomi," katanya.

Beliau berpendapat, pekerja asing penting kerana mereka membantu dalam menggerakkan pengoperasian di sektor perladangan dan merancakkan ekonomi negara kita.

"Kurangnya pembabitan warga tempatan dalam sektor ini, (jadi) kita kena bersikap adil kepada syarikat yang mengusahakan perladangan ini untuk terus mengekalkan pengeluaran hasil perladangan secara berterusan.

"Apa yang penting, pemantauan dari semasa ke semasa terutama pekerja yang diklasifikasikan sebagai pendatang asing tanpa izin ini perlu ditangani," katanya.

Bagi menangani kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor ini, beliau mencadangkan supaya gaji pekerja tempatan di lapangan perlu disemak semula dengan kadar yang segera.

"Kelebihan lain seperti elaun tambahan serta kemudahan yang disediakan perlu diuar-uarkan kepada orang ramai.

"Bantuan dan sokongan daripada Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Perladangan dan Komoditi kepada pihak universiti dalam mewajibkan syarikat perladangan untuk memberi keutamaan kepada graduan daripada bidang perladangan untuk mengisi kekosongan di sektor perladangan," katanya.

SEKTOR perladangan boleh dikelaskan sebagai 3D.
SEKTOR perladangan boleh dikelaskan sebagai 3D.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:30 AM