MOHD Khairuddin (kanan) menyampaikan sumbangan ketika Program Sumbangan Kepada Asnaf B40 dan anak-anak yatim Parlimen Kuala Nerus. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Khairuddin (kanan) menyampaikan sumbangan ketika Program Sumbangan Kepada Asnaf B40 dan anak-anak yatim Parlimen Kuala Nerus. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Khairuddin ketika sidang media. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Khairuddin ketika sidang media. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi giat mengadakan kempen bagi menarik minat rakyat khususnya golongan belia untuk mengisi kekosongan jawatan dalam sektor perladangan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sambutan rakyat tempatan terhadap sektor itu kurang menggalakkan walaupun pelbagai karnival kerjaya dan iklan secara besar-besaran termasuk menerusi laman web JobsMalaysia dilaksanakan.

Beliau berkata, rakyat tempatan seharusnya menggunakan peluang yang ada dengan menceburi sektor perladangan yang menawarkan pendapatan lumayan serta pelbagai kelebihan lain.

"Sektor ini kurang menjadi pilihan kerana rakyat masih beranggapan ia berada dalam kategori industri kotor, berbahaya dan sukar sedangkan banyak kelebihan yang disediakan seperti rumah dan kemudahan lain selain pendapatan yang boleh mencecah sehingga RM3,000.

"Anak muda yang mungkin tidak ada peluang untuk pendidikan akademik yang tinggi dan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sepatutnya merebut peluang yang ada ini.

"Justeru mereka yang berminat untuk mengisi kekosongan yang ada boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web kementerian, syarikat-syarikat perladangan negara atau melalui JobsMalaysia," katanya ketika ditemui selepas hadir ke Program Sumbangan Kepada Asnaf B40 dan anak-anak yatim Parlimen Kuala Nerus di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, kementerian turut memohon untuk mendapatkan kira-kira 32,000 pekerja asing sebagai penuai buah sawit tidak lama lagi.

Katanya, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Sumber Manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 11:53 AM