Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pas akan meletakkan beberapa calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri Melaka.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu seperti yang dizahirkan oleh pemimpin Pas, mereka akan mengambil bahagian.

Katanya, untuk rekod pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Pas secara solo bertanding di 23 kerusi daripada 28 kerusi di Melaka.

"Walaupun kita tidak menang, tetapi Pas menunjukkan prestasi yang baik di beberapa Dun yang kita bertanding. Kita dapat kerusi yang agak 'steady'.

"Jadi memang menjadi hasrat Pas untuk bertanding dalam PRN Melaka... Cuma berapa kerusi belum diputuskan lagi," katanya ketika ditemui di Program Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-54 di Hotel Grand River River di sini, hari ini.

Mesyuarat berkenaan diadakan secara hibrid iaitu sebahagian hadir secara fizikal dan sebahagian lagi secara maya yang dirasmikan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyampaikan ucapan amanat yang disiarkan secara rakaman video.

Takiyuddin berkata, beliau berharap pelaksanaan PRN Melaka akan berteraskan muafakat sebagaimana yang ada di peringkat Kerajaan Persekutuan.

"Kita akan bersama dengan semua parti yang ada dengan kerajaan persekutuan dan tidak ada pertembungan antara satu sama lain," katanya

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, bagi menghadapi PRN Melaka, Pas juga menubuhkan Jawatankuasa Induk PRN Melaka yang dipengerusikan oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Jawatankuasa Operasi yang diketuai oleh salah seorang daripada Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya Pas Pusat.

"Jadi kita akan mengambil bahagian dan macam mana konsep itu belum diputuskan lagi. Saya sebagai Setiausaha Agung boleh sahkan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pada 4 Oktober lalu, Dun Melaka terbubar selepas Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang sokongan, susulan tindakan empat Adun daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

Empat Adun mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 2:49 PM