KAMARUDIN. FOTO Arkib NSTP
KAMARUDIN. FOTO Arkib NSTP
Hassan Omar

Melaka: Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sedik menjelaskan beliau bukan dipecat kerana PAS gagal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu sebaliknya ia adalah pertukaran biasa selepas berkhidmat tiga penggal.

Beliau berkata, pertukaran itu sepatutnya berlangsung sebelum PRN Melaka Sabtu lalu tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan PAS harus memberikan tumpuan kepada gerak kerja jentera pilihan raya.

Katanya, hanya sebaik PRN berakhir, pertukaran itu dilakukan selepas segala usaha untuk memenangi PRN dilaksanakan.

"Alhamdulillah, segala perancangan yang dibuat untuk pertukaran itu berjalan dengan baik selepas PRN dan saya pun sudah berkhidmat selama tiga penggal sejak 2015.

"Memang selepas tiga penggal, pucuk pimpinan PAS Pusat akan membuat rombakan PAS negeri," katanya tadi.

Beliau mengulas kenyataan media Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai jawatan Kamarudin tidak dikekalkan bagi sesi 2021-2023 manakala 13 lagi Pesuruhjaya Negeri kekal.

Takiyuddin berkata, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Kali Kedua Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ahad lalu.

Jawatan berkenaan diambil alih Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Zulkifli Ismail.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, beliau masih Yang Dipertua PAS Jasin dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Melaka.

"Saya akan terus memberikan sumbangan dan berusaha untuk memantapkan perjuangan PAS di negeri ini dan kekalahan dalam PRN tidak melemahkan semangat saya untuk terus bekerja demi parti," katanya.

Pada PRN Sabtu lalu, PAS bertanding di lapan kerusi tetapi gagal mendapat tempat dalam kalangan pengundi walau satu kerusi pun.

Kamarudin yang bertanding di kerusi Duyong atas tiket Perikatan Nasional-PAS hanya memperoleh 2,874 undi manakala Mohd Noor Helmy Abu Halen (Barisan Nasional-UMNO) mendapat 4,684 undi dan Damian Yeo Shen Li (Pakatan Harapan-DAP) mendapat 4,484 undi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Kamarudin turut bertanding di kerusi yang sama tetapi tewas kepada Shen Li.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 2:52 PM