IDRIS ketika berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin.
IDRIS ketika berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Kita pakai yang keputusan rasmi," kata Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kemungkinan Barisan Nasional (BN) bertanding sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, setakat ini PAS belum dimaklumkan keputusan rasmi UMNO mengenai perkara berkenaan.

"Setakat hari ini keputusan daripada MT (Majlis Tertinggi UMNO) tidak sebut pun macam itu (bertanding sendirian)," katanya ketika ditemui di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1443H.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu juga berkata, pendirian PAS bagi PRN Melaka adalah bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali berkuasa.

Ditanya sama ada PAS akan bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Idris berkata, "(Anda) singgah di (hari) penamaan calon (nanti), tengok PAS bertanding di mana."

Selorohnya, PAS tidak hanya merancang bertanding kerusi Melaka sahaja namun, turut membuat persediaan bagi seluruh Malaysia.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dengan penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal 16 November.

Sebelum itu, media melaporkan Ahmad Zahid sebagai berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun PAS pada PRN Melaka yang antaranya kerana penyatuan di bawah Muafakat Nasional (MN) tidak pernah didaftarkan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid turut dilapor mengesahkan bahawa MT parti itu belum memutuskan sebarang kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 3:43 PM