DATUK Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan.
DATUK Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan.
BERNAMA

Melaka: Teka-teki berhubung nasib bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhirnya terjawab apabila kedua-duanya diumum sebagai calon Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat pengumuman itu berkata Idris akan bertanding di kerusi Asahan iaitu kerusi tradisi PKR, manakala Nor Azman kekal di Pantai Kundor, kerusi tradisi Parti Amanah.

Pada masa sama, Anwar berkata Idris dan Nor Azman masing-masing telah diterima sebagai ahli PKR serta Amanah.

"Bagi kami, mereka telah menyertai (parti) kerana itu sudah menjadi persefahaman… yang penting sekarang ini adalah mereka mewakili Pakatan Harapan," katanya pada majlis pengumuman calon PH secara maya hari ini.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu turut mengesahkan keahlian calon Amanah berkenaan dan menegaskan kepentingan PH bekerja sebagai satu pasukan dalam berdepan PRN Melaka.

"Seperti yang saya sebut tadi, kita terima (Idris dan Nor Azman) sebagai anggota dalam parti dan pentingnya kita kena bekerja sebagai satu pasukan, itu yang penting. Kita nanti mulai penamaan calon, orang boleh melihat bagaimana kita pamerkan persaudaraan antara kita, itu yang paling penting," katanya.

Anwar berkata pengagihan kerusi juga dikekalkan seperti yang dipersetujui PH sebelum ini iaitu 11 kerusi untuk PKR, sembilan bagi Amanah manakala lapan kepada DAP.

"Umumnya kalau kita tengok calon-calon, banyak yang baharu, kebanyakannya juga kali pertama. Keduanya, umur secara relatif lebih muda, kalau kita tengok 21, 30, 36, 40 dan gabungan supaya ada yang senior," katanya.

Berdasarkan pengumuman hari ini, tiga calon akan kekal bertanding di kerusi masing-masing yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu Datuk Gue Teck dari PKR di Klebang, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab (Amanah-Durian Tunggal) dan Adly Zahari (Amanah-Bukit Katil).

Bagaimanapun, Datuk Ginie Lim Siew Lin yang merupakan penyandang kerusi Machap Jaya tidak dicalonkan kali ini dan kerusi itu bakal ditandingi Law Bing Haw, 40, iaitu Naib Ketua Cabang PKR Kota Melaka.

Calon paling muda diumumkan hari ini ialah Farzana Hayani Mohd Nasir, 21, iaitu Ketua Srikandi PKR Melaka dan berkelulusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, bakal bertanding di Sungai Rambai.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Idris, Nor Azman, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 5:54 PM