Foto hiasan
Foto hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang terjejas susulan kerja penambahbaikan serta penyelenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dijangka mampu mencapai tahap 50 hingga 60 peratus esok.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Air Selangor turut menjangkakan antara empat ke lima peratus kawasan terjejas akan menerima bekalan air mulai hari ini.

Menurutnya, penduduk di Kuala Selangor menjadi yang terawal menerima agihan bekalan air berbanding kawasan lain manakala kawasan Klang atau di sekitar Taman Seri Andalas pula dijangka menjadi lokasi terakhir menerima agihan bekalan air terawat dari LRA itu.

"Menjelang esok, banyak tempat akan menerima bekalan air mungkin mencecah antara 50 hingga 60 peratus kerana kolam imbangan dan agihan kosong dalam tempoh 14 jam (untuk proses penambahbaikan) dan memerlukan sehingga 15 jam untuk penuh.

"Apabila kolam sudah penuh dan tekanannya sempurna, semakin cepat lokaliti tertentu mendapat bekalan air," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Pembangunan Usahawan@Shah Alam di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, keadaan di kawasan yang terjejas sangat terkawal kerana orang ramai sudah bersedia dengan menyimpan air berikutan notis diberikan awal dua minggu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemungkinan berlaku lonjakan kes jangkitan Covid-19 selepas sempadan negeri dibuka, Amirudin berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau kes harian berdasarkan data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Menurutnya, kerajaan negeri kini dalam proses mengingatkan kembali rakyat (mengenai prosedur operasi standard).

"Bagaimanapun, kita perlu bersiap siap sedia berikutan beberapa negara mengalami lonjakan kes walaupun sudah atau hampir 100 peratus vaksin terutamanya membabitkan varian baharu.

"Rakyat boleh berjalan, merentas negeri atau daerah tetapi pastikan pakai pelitup muka serta patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 9:19 PM