Iskandar Shah Mohamed


KERJA penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) berjaya disiapkan malam tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Raof Ahmad berkata, proses pelaksanaan yang bermula 9 pagi semalam itu siap sepenuhnya kira-kira 11 malam tadi.

Menurut beliau, pihaknya kini akan mengaktifkan semula loji bagi proses menyalurkan bekalan air terawat ke kolam utama dan sistem agihan dapat dilakukan sebelum bekalan disalurkan kepada pengguna.

“Kita menjangkakan proses itu akan mengambil masa selama 24 jam.

“Pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat dan berbeza setiap kawasan. Ia bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain Shah Alam, gangguan bekalan air turut berlaku di Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat serta Kuala Selangor.

Pelaksanaan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu segera dibuat bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik sekali gus mengelak gangguan bekalan air tidak terancang kepada pengguna.

Henti tugas LRA SSP2 itu menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terjejas.

Bagi kes kecemasan yang memerlukan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi talian WhatsApp 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka selama 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 9:21 AM