BEKALAN air pulih sepenuhnya di empat wilayah selepas LRA Rantau Panjang SSP1, 2 dan 3 terpaksa dihenti tugas kerana pencemaran. FOTO Aswadi Alias
BEKALAN air pulih sepenuhnya di empat wilayah selepas LRA Rantau Panjang SSP1, 2 dan 3 terpaksa dihenti tugas kerana pencemaran. FOTO Aswadi Alias
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Empat daripada tujuh wilayah yang terjejas akibat gangguan bekalan air sejak awal pagi semalam sudah pulih sepenuhnya sehingga 1 tengah hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata empat wilayah berkenaan adalah Petaling; Kuala Lumpur; Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

"Tiga lagi wilayah masih dalam proses pemulihan bekalan air iaitu Kuala Langat (80 peratus); Klang/Shah Alam (74.9 peratus) dan Gombak (70 peratus).

"Secara keseluruhan, sehingga 12 tengah hari tadi, bekalan air sudah stabil di 731 atau 84.9 peratus daripada 861 kawasan yang terjejas.

"Usaha menstabilkan agihan bekalan air terus giat dilakukan bagi memastikan 130 kawasan yang masih lagi terjejas mendapat bekalan air," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bantuan bekalan air alternatif melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan para pengguna yang masih lagi tejejas.

Katanya, Air Selangor turut menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki, PKS dan pili-pili awam yang disediakan.

"Maklumat bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Semalam, Air Selangor memaklumkan berlaku henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang pada 11.30 malam, 7 Disember serta LRA Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 pada 1 pagi semalam, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Dalam pada itu, semalam media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, berkata pembuangan air kolam ternakan ikan keli secara haram dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau yang mengakibatkan kedua-dua LRA dihenti tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 3:35 PM