GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Lumpur: Proses pemulihan bekalan air ke 998 kawasan terjejas susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) menunjukkan peningkatan, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, setakat 9 pagi tadi, pemulihan bekalan air mencapai 50.6 peratus berbanding 28 peratus pada 7 pagi tadi.

"Shah Alam mencatatkan kadar pemulihan tertinggi iaitu 92.3 peratus, diikuti Hulu Selangor (89.3 peratus), Kuala Selangor (75.6 peratus), Petaling (73.3 peratus) dan Gombak (59.9 peratus).

"Manakala Klang pula mencatatkan kadar pemulihan sebanyak 7.1 peratus sementara Kuala Lumpur dan Kuala Langat, masing-masing 0 peratus," katanya, hari ini.

Katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Kami berharap pengguna yang mendapat bekalan air menggunakannya secara berhemah.

"Ia memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan," katanya.

Sehubungan itu, pengguna yang ingin mengetahui status pemulihan kawasan terjejas, Pili Air Awam dan Stesen Pengisian Air Komersial boleh melayari laman sesawang hentitugas.airselangor.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 11:31 AM