Norzamira Che

SEBANYAK 1,132 kawasan yang terjejas susulan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor, semalam sudah menerima bekalan air setakat 6 pagi hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, wilayah Hulu Selangor dan Kuala Lumpur sudah pulih sepenuhnya manakala Petaling, Gombak dan Kuala Selangor melebihi 90 peratus.

“Berdasarkan pemantauan, sehingga 6 pagi tadi, 1,132 kawasan sudah mula mendapat bekalan air manakala 160 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan termasuk di Shah Alam dan Klang yang kini pada tahap 71 peratus serta Kuala Langat pada tahap lima peratus.

“Daripada segi akaun pengguna, sebanyak 87 peratus sudah menerima bekalan air sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan itu, Air Selangor menjangkakan bekalan air di seluruh kawasan yang terjejas akan pulih sepenuhnya menjelang tengah malam ini.

Jelasnya, Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan di www.airselangor.com.

“Bantuan lori tangki akan terus digerakkan ke kawasan terjejas sehingga bekalan air pulih seperti sedia kala,” katanya.

PENDUDUK menunjukkan tekanan air rendah berikutan beberapa kawasan di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.  FOTO Hazreen Mohamad
PENDUDUK menunjukkan tekanan air rendah berikutan beberapa kawasan di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. FOTO Hazreen Mohamad

Semalam, empat LRA iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata pencemaran berkenaan berpunca daripada kolam ternakan ikan keli yang beroperasi secara haram di sebuah kawasan di Hulu Selangor.

Susulan itu katanya, kerajaan negeri mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor melaksanakan pemantauan 24 jam setiap hari bagi memastikan tiada gangguan bekalan air berlaku.

“Pelaksanaan Ops Sumber Air secara bersepadu itu bermula semalam hingga 31 Mei depan bagi memastikan bekalan air di negeri ini tidak terputus khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika sambutan Aidilfitri ,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Kolam ternak ikan keli akan diroboh
  • Kolam ikan keli punca pencemaran
  • Pencemaran bau punca gangguan bekalan air
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 11:26 AM